Peletakan Jawatan Tommy, Latheefa Bukti Jelas PH Lantik ‘Puppet’ Bukan Berdasarkan Merit – Peguam Muda

KUALA LUMPUR, 7 Mac – Peletakan jawatan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuan Malaysia (SPRM) Latheefa Koya hari ini dan Peguam Negara Tommy Thomas minggu lalu sebaik sahaja jatuhnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) adalah satu isyarat jelas bahawa lantikan-lantikan yang dibuat kerajaan PH sebelum ini berasaskan kepentingan politik, bukannya merit.

Kata Pengerusi Kluster Peguam Muda Nik Saiful Adli Burhan, kedudukan penjawat awam mengikut undang-undang merupakan individu yang menjalankan kerja-kerja eksekutif yang mana badan eksekutif negara ini adalah diketuai oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Mereka seharusnya bekerja untuk kerajaan, bukannya untuk parti.

“Maka benarlah apa yang dirisaukan oleh Pemuda UMNO sebelum ini bahawa pelantikan-pelantikan jawatan penting melibatkan penguatkuasaan undang-undang ini akan menjadikan badan pelaksana undang-undang sebagai wayang dan ‘puppet’ semata-mata jika pada hakikatnya ia dikuasai oleh parti-parti politik,” tegasnya dalam satu kenyataan yang dimuatnaik di laman blognya nikadli.com.

Jelasnya lagi, beliau amat bersetuju dengan lima cadangan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki hari ini antaranya untuk meletakkan SPRM di bawah kuasa Parlimen dan untuk melantik jawatan-jawatan seperti Ketua Pesuruhjaya SPRM dan Peguam Negara di kalangan individu yang bebas dari pengaruh parti politik.

“Dalam melaksanakan keadilan undang-undang, bukan sahaja perlu dilaksanakan keadilan semata-mata, tetapi ia hendaklah juga dilihat sebagai adil oleh rakyat.

“Kerana itu pelantikan badan-badan pelaksana undang-undang ini perlu dilihat bermerit dan mampu memberi keadilan sewajarnya kepada semua tanpa mengira latarbelakang politik,” tambahnya.

Seterusnya kata Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia itu, meskipun tiada dalam manifesto, namun beliau percaya bahawa kerajaan baharu diterajui Perikatan Nasional ini boleh melaksanakan prinsip kedaulatan undang-undang (Rule of Law) sebagaimana dinanti-nantikan oleh rakyat.

“Dengan cadangan-cadangan tersebut, saya percaya ianya boleh mengembalikan keyakinan rakyat terhadap institusi pelaksana kehakiman dan perundangan di negara ini,” ujarnya lagi. – UMNO ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.