Jika PH Dibiar Terus Perintah Maka Kemudaratan Yang Teruk Kepada Negara


PAGOH, 7 Mac – Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sekiranya Pakatan Harapan (PH) dibiarkan untuk terus memerintah maka ia pastinya akan mendatangkan kemudaratan yang amat teruk kepada Melayu Islam dan tanah air.

Jelas beliau, kerana itulah UMNO bersama Muafakat Nasional (MN) memperjuangkan untuk menumbangkan PH pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“Tapi belum sampai PRU-15 nangka yang sepatutnya jatuh pada bulan enam atau lapan sudah jatuh awal… Kita tidak buat apa pun tapi bila sudah jatuh takkan kita tidak makan….

“Tuduhan yang mengatakan UMNO adalah penyebab PH tumbang sehingga tertubuhnya kerajaan pintu belakang adalah tidak benar sama sekali. Bila masa kita rampas kuasa? Dia yang runtuh… Atuk yang letak jawatan, parti dalam PH yang berpecah sehingga tidak cukup majoriti untuk jadi kerajaan maka takkan kita mahu biarkan,” ujar beliau ketika berucap merasmikan persidangan serentak cawangan UMNO bahagian Pagoh di sini, hari ini.

Namun begitu tambah Mohamad yang lebih dikenali sebagai Tok Mat, walaupun PH telah tumbang lebih awal dari yang dijangkakan, UMNO jangan sesekali hilang fokus.

“Kita kena seiring dan seirama antara yang di atas dan di bawah. Kita memegang dan memikul tangggjawab untuk meneruskan perjuangan memartabatkan Melayu dan tanah air ini jadi mari kita sama-sama pastikan perjuangan ini diteruskan.

“Jadi kerajaan atau tidak itu soal nombor dua kerana apa yang penting kita perbetulkan kesilapan kita… kita tidak patut kalah pada PRU-14 yang lalu tetapi sebab ada yanggsudah tidak jejak di bumi nyata, naik jinjang tidak mahu turun-turun maka ia menjadi antara penyebab kita kalah.

“Maka kita susun elok-elok kerajaan yang ada kita dapat semula ini, jangan bermegah dan berkhayal kerana ia boleh jadi tidak lama. Kita gunakan peluang ini sepenuhnya untuk kita perkasakan parti dan untuk kita berhadapan dengan PRU-15, itulah kemenangan mutlak kita,” tegas beliau. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.