Pelik ‘Whistleblower’ PH Tak Dipanggil Jadi Saksi Utama 1MBD.. Ada Yang Lari Balik Pun – Shahrir

KUALA LUMPUR, 6 Mac – Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru Tan Sri Shahrir Abdul Samad hairan mengapa mereka yang disanjung dan dipuji terutama oleh Pakatan Harapan (PH) sebagai pemberi maklumat atau ‘whistleblower’ sehingga terdedahnya dakwaan sesuatu ‘skandal dan salahlaku’, tidak pula dipanggil sebagai saksi utama perbicaraan kes berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Bayangkan bagaimana Clare Brown dan Xavier Justo boleh mendedahkan dalam mahkamah segala apa yang mereka tahu sehingga tugas Tommy Thomas sebagai pendakwaraya setaraf skrip filem Hollywood.

“Kalau Justo dah lari balik ke Switzerland, tak de lah peluang untuk dia dijadikan saksi pihak pendakwaraya dalam kes-kes kaitan 1MDB,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Semalam, sebuah portal melaporkan Andre Xavier Justo yang menjadi tumpuan media selepas mendedahkan dokumen berkaitan 1MDB sudah pulang ke Switzerland, yang dipercayai ada kaitan dengan tumbangnya kerajaan PH, kira-kira 13 bulan setelah beliau memutuskan untuk tinggal di negara ini.

Laporan tersebut juga mengatakan warganegara Swiss itu tidak mendedahkan butiran berhubung keputusan berkenaan dan berkata di Facebooknya meninggalkan Malaysia kerana beliau dan keluarga tidak boleh mengambil risiko jika ada perkara yang tidak kena berlaku.

Ulas Shahrir lagi, adakah keputusan Justo itu mempunyai hubung kait dengan Tommy yang tidak lagi menjadi pendakwaraya ekoran peletakan jawatannya sebagai Peguam Negara.

“Oh…Tommy Thomas dah tak jadi pendakwaraya kes 1MDB?

“Ini pula Justo; dia pun balik negeri? Soalnya lagi.

Untuk rekod, Jumaat minggu lepas, rentetan tumbangnya kerajaan PH, Tommy Thomas meletakkan jawatan sebagai Peguam Negara atas alasan beliau lantikan politik dari bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Hari ini juga, seorang lagi lantikan politik, Latheefa Koya meletakkan jawatan sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.