Apakah Shafie… Parti Warisan Cuba Main Dua Kolam? – Rahman

KUALA LUMPUR, 6 Mac – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan menimbulkan persoalan berhubung pendirian yang diambil oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal berkaitan sokongannya terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad, namun pada masa yang sama mahu bekerjasama dengan Perdana Menteri yang baru dilantik, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut beliau berdasarkan keadaan itu, terdapat tiga persoalan iaitu apakah maksud pendirian terbabit dan apakah mahu bermain ‘dua kolam’ ataupun mahu bermain selamat berhubung senario semasa yang berlaku hari ini.

“Hari ini Datuk Seri Shafie Afdal menyatakan Warisan tetap menyokong Tun Mahathir tetapi mahu bekerjasama dengan Tan Sri Muhyddin Yassin. Apa punya pendirian ini… mahu main dua kolam… mahu main selamat?

“Ini juga bermakna ahli-ahli parlimen Warisan akan menyokong undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri bila sidang parlimen berlangsung bulan Mei ini. Keduanya Datuk Seri Shafie tidak mahu memberi ruang kepada ADUN-ADUN PPBM di Sabah untuk menjadi sebahagian daripada kerajaan Sabah,” katanya menerusi catatan di Facebook beliau.

Soal Rahman lagi apakah pendirian PPBM di Sabah pula dan apakah mereka masih mesra Warisan di negeri itu sedangkan Perdana Menteri mereka tidak disokong oleh Parti Warisan.

“Datuk Seri Shafie menidakkan peluang ahli-ahli parlimen Parti Warisan untuk menjadi menteri dan timbalan menteri atau memegang jawatan dalam agensi dan GLC kerajaan.

“Saya masih teringat Datuk Seri Shafie dulu memberi alasan bahawa wakil-wakil rakyat BN melompat ke Warisan kerana mereka ini mahu bersama dengan kerajaan untuk meneruskan pembangunan di kawasan masing-masing.

“Apapun, ini adalah pandangan Datuk Seri Shafie di depan tabir. Esok lusa kita tunggu pula pendirian di belakang tabir ahli-ahli parlimen Warisan. Pastinya menarik untuk mendengar bisikkan peribadi mereka,” ujarnya lagi.

Terdahulu, semalam Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata kerajaan negeri akan meneruskan kerjasamanya dengan kerajaan persekutuan demi kepentingan negeri dan rakyat.

Bagaimanapun, Mohd Shafie yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) berkata parti pimpinannya itu tetap dengan pendirian untuk terus menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya kerjasama dengan kerajaan persekutuan itu perlu agar agenda menjaga kepentingan rakyat dari aspek kesihatan, pendidikan dan keselamatan dapat diteruskan, manakala kerjasama politik cukup jelas bagi untuk terus menyokong Dr Mahathir. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.