100 Hari Tenangkan Politik Semasa… Tumpu Agenda Rakyat – Ahmad

KUALA LUMPUR, 6 Mac – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Ahmad Maslan melihat kerajaan baru hari ini adalah melalui ‘pintu baharu’ serta mengikut Perlembagaan dan sah dari sudut Perlembagaan malah ianya sesuatu yang cukup penting untuk difahami oleh rakyat.

Menurut beliau memanglah perkara tesebut tidak pernah berlaku di Malaysia tetapi apa yang berlaku sudah pun berlaku dan pihaknya menjunjung kasih ke bawah Duli Yang di-Pertuan Agong kerana telah menyelesaikan kemelut tersebut.

“Saya kira dalam masa 100 hari ini kita tenangkan politik kita dan sidang parlimen yang ditunda merupakan satu langkah yang bijak kerana ianya dalam usaha untuk memastikan kementerian yang diterajui menteri baharu ini stabil sebelum sidang dewan rakyat.

“Kita sama-sama meredakan kehidupan rakyat di bawah kemampuan kita. Jangan hanya kerana nak jadi populis maka kita menambah hutang yang tidak sepatutnya ditambah. Hutang yang ditinggalkan mereka begitu banyak … purata masa zaman BN RM 11 bilion setahun… RM686 bahagi 63 tahun puratanya RM11 bilion setahun.

“Tetapi dalam zaman mereka setahun sembilan bulan dah berapa ratus bilion yang mereka tambah hutang. Pada ketika yang sama beratus bilion habis dari pasaran saham. Bayangkan bagaimana kita mahu mengembalikan segala itu. Ianya bukan mudah merupakan satu cabaran yang amat besar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Hujah anjuran Penerangan UMNO Malaysia dengan tajuk ‘Perikatan Nasional: Siapa Khianat?’.

Tambah Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian, banyak perkara yang perlu dilihat kembali oleh kerajaan baharu untuk rakyat serta negara.

“Selepas ini saya percaya mana yang boleh ‘di-reverse… reverse’ balik. Bandar Malaysia dijual… duitnya ke mana pergi. Ini kena semak balik oleh mereka yang dipertanggungjawabkan nanti. Jadi kalau sesiapa jadi menteri kewangan kalau ada satu… dua… semak balik fail-fail.

“IHH Hospital kemudian dijual kepada Mitsui Jepun. Jepun bayar dan mereka anggap penjualan sebagai pelaburan. Mana ‘ko’ belajar. Apapun terpulang kepada kabinet baru untuk duduk dan merancang dengan baik… biarlah pengumuman itu tidak setinggi langit tetapi biarlah praktikal untuk rakyat,” tambahnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.