Kegagalan Kerajaan Lalu Jadi Teladan, Perikatan Nasional Untuk Negara

JOHOR BAHRU, 5 Mac – Sekarang masanya untuk mendahulukan keperluan dan kehendak rakyat setelah habisnya tempoh berpolitik dengan menjadikan pentadbiran kerajaan lalu yang gagal mendengar suara hati rakyat sebagai teladan.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Johor, Mohd Hairi Md Shah menyifatkan kehadiran kerajaan Perikatan Nasional sememangnya amat dinantikan dan disambut baik oleh masyarakat Malaysia berbilang kaum kerana telah terlepas daripada cengkaman Dap.

“Pemuda UMNO Johor juga menyambut baik kesediaan wakil-wakil rakyat PH yang berjiwa besar menyertai Perikatan Nasional untuk bersama bergandingan bagi membangunkan negara dan negeri khususnya di Johor,” katanya dalam kenyataan media.

Dalam masa yang sama, beliau merakamkan ucapan tahniah dan penghargaan di atas pembentukan kerajaan baharu Perikatan Nasional yang menjadi wadah kepada politik negara, hari ini.

“Bagaimanapun ingin kami ingatkan kepada kerajaan Perikatan Nasional baik kerajaan negeri mahupun Persekutuan supaya lebih peka dalam mendengar suara dan permasalahan rakyat

“Pemuda UMNO Johor beranggapan bahawa kerajaan seharusnya mencari dan mendengar permasalahan rakyat terlebih dulu sebelum melaksanakan sebarangan perancangan supaya ia selaras dengan aspirasi rakyat,” ujarnya yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Johor Bahru.

Katanya, kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam PRU-14 lalu telah banyak menjadi pengajaran dan paling penting untuk kerajaan melihat serta mendengar penderitaan rakyat di bawah sana.

“Kegagalan kerajaan terdahulu mendengar suara rakyat dalam erti kata sebenarnya menyaksikan kita dihukum oleh kuasa rakyat dan perkara ini tidak harus berulang lagi.

“Besarlah harapan saya agar kerajaan Perikatan Nasional ini lebih peka, lebih faham sentimen dan kehendak rakyat serta mengutamakan kepentingan rakyat berbanding peribadi.”

Dalam masa yang sama, beliau menekankan bahawa Pemuda UMNO Johor akan sentiasa mendokong segala bentuk perancangan kerajaan negeri dan kerajaan pusat yang bakal dilakukan demi memastikan rakyat di bawah terus terbela.

“Kepada seluruh pemimpin yang bakal dilantik ke dalam kabinet persekutuan mahupun exco negeri, kami berharap agar anda semua berjiwa besar dan bersedia menerima teguran serta cadangan dari semua pihak,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.