Cabaran PN Perbaiki Kegagalan Dasar PH

KUALA LUMPUR, 5 Mac – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah mengurangkan banyak komponen yang berkaitan dan juga dasar luar yang tidak mesra kepada eksport hinggakan amat memberi kesan kepada ekonomi rakyat serta menyebabkan penguncupan pertumbuhan ekonomi, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Shabery Cheek.

Jelasnya, mengurangkan penerima BRIM atau bantuan nelayan kerana dikatakan dedak, atau mengurangkan spesifikasi LRT atau MRT, dan menangguh perlaksanaan Pan Borneo Highway, atau dasar luar yang tidak mesra kepada eksport amat memberi kesan dan alasan berjimat adakalanya menjerut diri sendiri.

“Ketika berada di belah pembangkang, ramai yang menganggap menjadi kerajaan itu mudah. Bercita-cita memberi itu dan ini untuk rakyat.

“Andaian mereka kerajaan sentiasa berduit dan sumber tak terbatas,” bidasnya dalam satu hantaran menerusi Facebook beliau hari ini.

Beliau turut memberikan penerangan berkaitan formula asas ekonomi yang bukan formula baharu kerana menjadi teks asas mana-mana ekonomi, iaitu pengiraan KDNK yang berdasarkan empat komponen penting iaitu C+I+G+(X-M):

C (consumption) keupayaan perbelanjaan rakyat atau kecairan wang dalam sistem.
I (investment) ialah pelaburan dalam perniagaan
G (government expenditure) perbelanjaan kerajaan termasuk projek-projek infrastruktur yang memberi peluang pekerjaan.
X-M ialah eksport – import. Atau eksport bersih kita.

“Era Najib, ekonomi berkembang kerana wang walaupun kecil tapi disalurkan ke semua peringkat rakyat. BR1M, bantuan nelayan, bantuan petani, pekerja kontrak sekolah. Juga bonus kakitangan kerajaan. Rakyat berduit dan berbelanja menghidupkan ekonomi rakyat seperti di jeti nelayan dan kampung-kampung. Perbelanjaan itu dicukai dan wang cukai dikitar semula ke dalam masyarakat.

“Beliau juga berjaya menarik pelabur dalam dan luar negara termasuk Eropah, US, China dan Arab (Aramco di Penggerang).

“Projek besar, MRT1, 2 dan 3, Pan Borneo Highway, ECRL adalah antara projek besar yang memberi peluang puluhan ribu jurutera, kontraktor kecil dan besar mendapat pekerjaan.”

Jelasnya, eksport negara yang melebihi import menjadikan mata wang kukuh.

“Mata wang kukuh penting dalam menentukan harga barang dan kos sara hidup kita. Untuk meningkatkan eksport bukan sekadar kita ada produk tetapi juga membina persahabatan dengan negara yang boleh membeli produk kita.

“PH sudah pergi Perikatan Nasional (PN) pula datang. Cabaran terbesar bagaimana nak wujudkan kerajaan yang stabil dan keupayaan mereka meningkatkan semua komponen ini.”

Ujar beliau, pastinya lebih mencabar kerana rakyat menunggu dan boleh membuat kejutan baru sekiranya mereka tidak berpuas hati. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.