MUBARAK Sokong Pelantikan PM-8, Junjung Kebijaksanaan YDP Agong – Abdul Aziz

KUALA LUMPUR, 4 Mac – Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK) hari ini menyatakan sokongan terhadap pelantikan Perdana Menteri ke-8, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Rahman berkata pelantikan itu juga memperlihatkan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong dalam menyelesaikan kemelut yang berlaku sebelum ini.

“Kita mahu ketenangan politik… pelabur akan melihat keadaan ini dan ianya untuk kepentingan negara dan rakyat.

“Semuanya ini MUBARAK memberikan sokongan dan melihat keputusan yang bijak daripada Yang di-Pertuan Agong dalam menyelesaikan kemelut. Ini adalah kebijaksanaan Tuanku. Tidak patut menimbulkan persoalan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu beliau turut memaklumkan MUBARAK turut mengadakan retreat selama tiga hari di ibu negara dalam merangka pelbagai perkara untuk dijayakan.

Pada masa yang sama kata Aziz pihaknya akan terus memperjuangkan kebajikan anggotanya seluruh negara termasuklah berkongsi pengalaman sedia ada dengan pelbagai pihak.

“Sebagai contoh sebelum ini program Parlimen Mahasiswa yang kita jayakan selama beberapa tahun telah berjaya melahirkan lebih 600 ahli Parlimen Mahasiswa.

“Ahli MUBARAk mereka ini mempunyai pengalaman dan boeh berkongsi pengalaman dan wujudlah Parlimen Mahasiswa sebelum ini.

“Program seperti ini perlu diperluaskan ke peringkat negeri dalam usaha memantapkan golongan muda berkenaan apa itu Dewan Rakyat dan apa Dewan Negeri dan kita boleh jadikan mentor kepada anak muda di kawasan masing-masing,” ujarnya.

Katanya lagi MUBARAK juga bersedia utuk berkongsi pengalaman yang ada dengan pelbagai pihak.

“Kita yang terdiri daripada bekas menteri besar, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ahli Parlimen dan sebagainya lagi sedia berkongsi pengalaman… kita juga akan berkongsi pengalaman menerusi seminar dan sebagainya,” tambahnya.- UMNO Online

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.