Prasangka Buruk Terhadap Pemimpin UMNO Cuba Dihidupkan – Shahrir

KUALA LUMPUR, 3 Mac – Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad mengingatkan bahawa prasangka buruk terhadap pemimpin-pemimpin UMNO terus cuba dihidupkan oleh mereka yang menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, penyokong-penyokong Tun Mahathir cuba mengembangkan naratif bahawa UMNO menyokong Tan Sri Muhyiddin sebagai perdana menteri kerana, apabila dalam kerajaan, kes-kes terhadap pemimpin-pemimpin UMNO akan ditarik balik.

“Ini naratif yang meleset kerana Datuk Seri Najib sudah pun memberi kenyataan yang tegas, dia ‘bukan Lim Guan Eng. Tepat sangat!,” katanya dalam hantaran menerusi Facebooknya.

Jelas beliau, selepas PRU-14, Lim Guan Eng masih lagi menjalani pembicaraan apabila Pejabat Peguam Negara minta supaya tuduhan terhadap Lim Guan Eng digugurkan.

“Fakta ini tidak lagi boleh ditutup. Ianya bukti nyata bagaimana Lim Guan Eng sedia menggunakan kuasa politik untuk menodai sistem keadilan negara.

“Sebab itu, kata-kata: ‘saya bukan Lim Guan Eng’ merumuskan sikap kemunafikan pemimpin Dap itu.

“Sebaliknya, bagi Datuk Seri Najib dan Datuk Seri Zahid, mereka berdua tetap bermaruah dan akan tetap melalui proses perbicaraan di mahkamah untuk membersihkan nama mereka.”

Ujar beliau, kerajaan PH telah menguasai badan penyiasat seperti SPRM melalui pelantikan seorang aktivis politik dan bekas ahli PKR.

“Badan pendakwaan, iaitu Kamar Peguam Negara, diketuai pula oleh Tommy Thomas. Penguasaan PH terhadap badan penyiasat dan badan pendakwa telah menjejaskan sistem keadilan negara.

“Namun, kehakiman, insya-Allah, telah pulih dari serangan terhadap judisiari semasa pemerintahan Tun Dr Mahathir pada 1987.

“Itulah sebabnya kehakiman dilihat sebagai benteng terakhir mempertahankan keadilan,” katanya lagi.

Dilaporkan, sesi perbicaraan yang melibatkan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang didakwa melakukan kes pecah amanah ketika menjadi Menteri Dalam Negeri bersambung hari ini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Terdahulu beliau memberi jaminan kes pendakwaan politik dan berpilih yang dikenakan ke atasnya itu tidak akan digugurkan sama sekali.

Sewaktu kepimpinan PH, berlaku trend pengguguran kes mahkamah melibatkan pemimpin mereka termasuklah Lim Guan Eng yang didakwa dalam kes rasuah dan kes sedang berlangsung namun digugurkan oleh Peguam Negara. – UMNO Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.