Jangan Ikut Rentak PH… Jatuh Disebabkan Api ‘Dragon’, Ego Dalam Diri – Ahmad Shabery

KUALA LUMPUR, 3 Mac – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Datuk Seri Ahmad Shabey Cheek memberi peringatan kepada semua pihak yang kini berada di tampuk pemerintahan negara agar jangan mengikut rentak pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang membenarkan sifat ‘dragon’ masuk menyelinap dalam diri.

Ahmad Shabery memberi perumpamaan sebegitu kerana baginya ‘dragon’ atau naga adalah haiwan mitos yang tak pernah wujud tetapi lagendanya ada dalam pelbagai hikayat China atau Barat.

“Haiwan ini lambang kuasa, ego, angkuh dan ganas. ‘Dragon’ tak boleh dikalahkan oleh sesiapa.

“Yang boleh mengalahkan ‘dragon’ hanyalah ‘dragon’ itu sendiri. Bukan ‘dragon’ yang lain tapi hembusan api yang datang dari tubuhnya sendiri,” jelasnya dalam satu hantaran di Facebook.

Begitu juga dengan runtuhnya kerajaan PH, ulasnya lagi.

“PH tidak dikalahkan oleh musuhnya. PH kalah dari api ego dalaman mereka sendiri.

“Yang menjatuhkan ‘dragon’ PH ialah PH sendiri,” tegasnya.

Tambahnya lagi, PH ketika memerintah bermula dengan menyemarakkan api kemarahan rakyat.

“Menang dan memerintah dengan cengkaman yang menakutkan.

“Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan mahkamah digunakan untuk orang yang mereka benci dan memaafkan orang yang menyebelahi mereka.

“Manifesto bukan kitab suci. Bahkan ada yang kata Nabi pun tak tunai janjinya,” bidasnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.