Hakim Terima Permohonan Maaf, Tiada Unsur ‘Contempt of Court’

KUALA LUMPUR, 3 Mac – “Saya mendapati tiada unsur ‘contempt of court’,” kata Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah.

Hakim membuat keputusan berikut setelah menerima penjelasan yang diberikan oleh peguam Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Hisyam Teh Poh Teik dan permohonan maaf Presiden UMNO itu berhubung kekeliruan yang timbul semalam mengenai penangguhan kes.

Peguam Hisyam Teh Poh Teik menjelaskan, sebagai seorang pemimpin parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid perlu berjumpa dengan Perdana Menteri yang baharu Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membincangkan tentang barisan kabinet yang baharu.

Katanya, disebabkan kelewatan 15 minit kerana masalah kesesakan jalan raya, maka anak guamnya Ahmad Zahid tidak dapat bertemu dengan Perdana Menteri yang telah pun beredar ke tempat lain.

Seterusnya, Ahmad Zahid turut bersetuju dengan penjelasan yang dibuat oleh peguamnya dan memohon maaf atas kekeliruan yang timbul.

“Yang Arif, saya bersetuju dengan penjelasan yang dibuat oleh peguam saya. Secara terbuka, saya memohon maaf atas kekeliruan yang berlaku dan tidak berniat untuk ‘mislead’ pihak mahkamah.

“Saya sekali lagi memohon maaf atas kekeliruan yang berlaku. Berkaitan dengan surat, saya telah berhubung dengan Setiausaha Politik Perdana Menteri, memandangkan belum ada lagi majlis angkat sumpah dan perlantikan yang sah maka surat berkaitan tidak boleh diberikan.

“Saya amat menghormati mahkamah, Yang Arif. Sekali lagi, saya mohon maaf atas kekeliruan. Saya memohon maaf sekali lagi Yang Arif,” ujar Ahmad Zahid ketika memulakan prosiding kesnya pagi ini.

Walaubagaimanapun, pihak pendakwa mendesak mahkamah dengan mengatakan berlaku situasi mengelirukan (misleading) walaupun peguam Ahmad Zahid, Hisyam memberi pencerahan kepada mahkamah dan Ahmad Zahid membuat permohonan maaf secara terbuka.

Selepas berehat sebentar, Hakim Collin Lawrence Sequerah akhirnya membuat keputusan menerima permohonan maaf yang dibuat Ahmad Zahid dan mendapati tiada unsur ‘contempt of court’. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.