Drama Politik Tamat, Masa Bekerja Bina Negara Demi Rakyat… Abaikan Provokasi

DAMANSARA, 3 Mac – Naib Ketua Pemuda UMNO Selangor, Amin Mohd. Shukor berkata, tamat sudah drama polemik politik negara dan kini tibalah masa untuk bekerja membina negara Malaysia semula.

Jelas beliau, walaupun masih ada watak-watak lakonan belakang pentas terus berbunyi-bunyi, merungut-rungut, mencaci maki dan tidak kurang juga provokasi-provokasi murahan yang sengaja dicetuskan semata-mata ingin menarik perhatian namun kerajaan Perikatan Nasional ini tidak boleh leka dan harus mengutamakan permasalahan rakyat.

“Kita tahu selama 22 bulan negara di bawah pentadbiran PH, terlalu banyak kepincangan yang dilakukan sehingga ekonomi negara merudum begitu teruk sekali. Bukan itu sahaja, jangan kata ada pelabur baru… pelabur yang ada pun ‘angkat kaki’ kerana hilang keyakinan.

“Jadi, polemik politik negara harus dihentikan kerana kita sudah ada Perdana Menteri dan sedikit masa nanti akan ada barisan kabinet baru. Janganlah kita bersengketa kerana jawatan sebaliknya perkara yang perlu kita titik beratkan adalah memulihkan ekonomi, mengembalikan keyakinan pelabur, memulihkan keyakinan rakyat, memulihkan dasar perpaduan dan kehamonian, kembali menyasarkan kebajikan rakyat dan tidak ketinggalan memikirkan bagaimana mahu melahirkan generasi muda yang lebih berkualiti,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Tambah Amin, pada era kemajuan 2020 ini seharusnya perlu selaras dengan dengan daya pemikiran yang juga seharusnya maju kehadapan, justeru para penggiat, aktivis serta ahli politik tidak kira kerajaan mahupun pembangkang harus berhenti bermentalitikan picisan.

“Bukan mahu memuji tetapi PH seharusnya mencontohi bagaimana UMNO dan BN menjadi pembangkang yang jauh berkualiti daripada mereka ketika menjadi pembangkang. UMNO dan BN tidak beretorik atau menjanjikan bulan dan bintang tetapi kita bertindak berdasarkan fakta dan kenyataan.

“Jadi, janganlah PH mengulangi kesilapan mereka dengan apabila kembali menjadi pembangkang kerana rakyat sudah muak dengan segala janji manis dan retorik politik. Rakyat sudah memberi peluang kepada PH untuk menjadi pembangkang namun sayangnya mereka tidak menggunakan peluang ini sebaik mungkin tetapi telah memberikan satu mimpi ngeri kepada rakyat.

“Maka, PH perlu menjadi pembangkang yang konstruktif dan lebih membina dalam berbicara, bukan dengan idea-idea yang matlamatnya menghalalkan setiap cara sementara kerajaan yang baru dibina ini pula harus lebih nyata agar rakyat yakin dan kembali percaya,” luah beliau.

Amin yang juga merupakan Ketua Pemuda UMNO bahagian Damansara turut menyarankan agar kedua-dua pihak untuk tidak berterusan mencaci-maki antara satu sama lain tanpa etika susila serta seakan tiada batasan menghina.

“Saya faham kebobrokan dan drama yang dipertontonkan oleh sesetengahnya namun perbandingan kepimpinan perlu ‘Apple to Apple’ bukan serangan ‘personal to personal’. Saya tetap berpendirian yang politik ini harus ada had dan kehormatan profesionalismenya. Ada tanggungjawab sosial yang perlu diperlihatkan agar ahli politik itu tidak dipandang murah oleh masyarakat dan kesan jangka panjangnya haruslah tidak merugikan negara.

“Sama ada pihak kerajaan atau pembangkang, setiapnya diperlukan dalam membangunkan negara. Tujuan utama dan obejktif utama adalah rakyat, rakyat dan rakyat secara ‘total’nya,” tegas beliau. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.