UMNO Sabah Susun Strategi, Pastikan Rakyat Tidak Ketinggalan – Bung Moktar

KUALA LUMPUR, 2 Mac – Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin memaklumkan bahawa UMNO negeri itu akan menyusun beberapa strategi dan pendapat baru bagi memastikan rakyat Sabah tidak ketinggalan dalam bidang pembangunan, ekonomi dan politik ekoran pemkembangan baru kerajaan Persekutuan.

Terangnya, kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang lemah dan tidak menjalankan amanah yang diberikan oleh rakyat telah ditumbangkan oleh pemimpin mereka sendiri.

“Ekoran perkembangan politik Persekutuan telah berubah dan Parti Warisan Sabah telah mengikhtiarkan untuk tidak menyertai gabungan kerajaan baru, UMNO Sabah akan menyusun beberapa strategi dan pendapat baru untuk memastikan rakyat Sabah tidak ketinggalan dalam bidang pembangunan, ekonomi dan politik,” katanya dalam kenyataan menerusi laman Facebooknya, hari ini.

Jelas beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, UMNO Sabah dan komponan BN akan menamui rakyat disemua peringkat untuk memberi penjelasan berkaitan keadaan semasa.

“Ini penting kerana rakyat berhak tahu akan perkembangan politik semasa,” katanya.

Katanya, ahli-ahli UMNO dan BN perlu bertenang dan bersabar serta harus bersyukur kerana kekalutan politik berakhir.

“Kita semua harus bersyukur kerana kekelutan politik tanah air yang bergolak hampir seminggu telah berakhir, keutamaan kita adalah negara dan rakyat, kerajaan PH yang lemah dan tidak menjalankan amanah yang diberikan rakyat telah jatuh dan ditumbangkan oleh pemimpin mereka sendiri.

“Dalam keadaan kita sendiri tidak percaya perkara ini berlaku, namun itulah hakikatnya, semuanya Allah telah tentukan, di Sabah insya-Allah, UMNO Sabah akan lakukan yang terbaik untuk membela untung nasib rakyat Sabah secara saksama,” katanya lagi.

Dilaporkan, semalam Tan Sri Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri kelapan yang menoktahkan kemelut politik ekoran Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan, namun kemudiannya mahukan sokongan untuk jawatan tersebut kembali. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.