Tindakan Perundangan Tak Akan Dicemari Politik, Buka Semula Kes Pendakwaan Yang Dihentikan – Dr Akmal

 

JASIN, 2 Mac – UMNO tidak akan sesekali membiarkan mana-mana kes pendakwaan yang sedang berjalan dan melibatkan mana-mana ahli politik diberhentikan sebegitu sahaja sebagaimana yang pernah berlaku dalam kerajaan terdahulu.

Naib Ketua Pemuda UMNO Negeri Melaka Dr Akmal Salleh berkata, tindakan perundangan tidak akan sesekali dicemari dengan keputusan politik walaupun pernah dilakukan oleh kerajaan sebelum ini.

“Biarlah pendakwaan itu berlangsung dengan adil tanpa gangguan mana-mana tangan ghaib dan biar mahkamah sendiri yang menentukan sama ada mereka bersalah ataupun tidak,” katanya kepada UMNO-Online.

Beliau berkata demikian sebagai menolak dakwaan segelintir pihak ekoran sesi perbicaraan yang melibatkan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini ditangguhkan sedangkan ia akan bersambung seperti biasa esok.

“Ini kerana kita percaya, rakyat mahukan yang terbaik daripada pimpinan terdahulu, maka seharusnya kita juga perlu menunjukkan kita yang terbaik.

“Namun dalam masa yang sama, saya juga memohon agar kes pendakwaan yang telah diberhentikan sebegitu sahaja sebelum ini dibuka semula dan perbicaraannya perlulah dilakukan secara adil.

“Jangan ulang kesalahan yang telah dilakukan sebelum ini,” ujarnya yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Jasin.

Dilaporkan, Mahkamah Tinggi hari ini memutuskan kes perbicaraan Ahmad Zahid yang didakwa melakukan kes pecah amanah ketika menjadi Menteri Dalam Negeri ditangguhkan bagi memberi laluan beliau membincangkan pelantikan menteri Kabinet dengan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Seterusnya, Ahmad Zahid memberi jaminan kes pendakwaan politik dan berpilih yang dikenakan ke atasnya itu tidak akan digugurkan sama sekali.

Terdahulu, ketika kerajaan PH berkuasa, beberapa kes pendakwaan yang sedang berlangsung telah digugurkan oleh Peguam Negara termasuklah tuduhan rasuah terhadap Lim Guan Eng atas dakwaan menggunakan kedudukannya untuk membeli sebuah banglo mewah. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.