“Tangguh Hari Ini Sahaja…” Zahid Beri Jaminan Kes Tidak Akan Digugurkan

KUALA LUMPUR, 2 Mac – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata sesi perbicaraan yang melibatkan dirinya hanya ditangguhkan pada hari ini sahaja dan akan bersambung seperti biasa esok, Selasa.

Demikian kata Ahli Parlimen Bagan Datuk itu dalam satu kenyataan media, hari ini di sini.

Dilaporkan, Mahkamah Tinggi hari ini memutuskan kes perbicaraan Ahmad Zahid yang didakwa melakukan kes pecah amanah ketika menjadi Menteri Dalam Negeri ditangguhkan bagi memberi laluan beliau membincangkan pelantikan menteri Kabinet dengan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Seterusnya, Ahmad Zahid memberi jaminan kes pendakwaan politik dan berpilih yang dikenakan ke atasnya itu tidak akan digugurkan sama sekali.

“Kes ini tidak digugurkan sama sekali seperti kes-kes lain sebelum ini.

“Insya-Allah, saya akan membersihkan diri saya di mahkamah tanpa pengguguran kes.

“Saya mahu mahkamah menentukan keputusannya walaupun tuduhan ini adalah pendakwaan politik dan pendakwaan terpilih,” tegasnya lagi.

Semalam, Tan Sri Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Kelapan di hadapan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah di Istana Negara, di sini.

Untuk rekod, Sabtu lalu, dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, Yang di-Pertuan Agong berkenan melantik Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh sebagai Perdana Menteri Kelapan setelah dipercayai mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Parlimen.

“Seri Paduka Baginda bertitah bahawa proses pelantikan Perdana Menteri tidak boleh dilengah kerana negara memerlukan kerajaan demi kesejahteraan rakyat dan negara yang kita cintai bersama.

“Seri Paduka Baginda bertitah bahawa ini adalah keputusan terbaik untuk semua dan baginda menzahirkan harapan agar kemelut politik ini,” tambah Ahmad Fadil lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.