Malaysia Mesti Diurus Pendekatan Terangkum, Berkeadilan… Kerajaan Untuk Semua – Mohamad

KUALA LUMPUR, 2 Mac – Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan berpandangan walaupun kerajaan yang baharu ditubuhkan ini didominasikan oleh tiga parti Melayu utama negara ini, rakyat mengharapkan pemerintahannya akan menjadi kerajaan semua untuk semua.

Katanya, negara mesti diuruskan dengan pendekatan terangkum dan berkeadilan di mana semua pihak punya hak, keutamaan dan kepentingan di bawah lembayung langit Malaysia.

“Keutamaan memulihkan kedudukan ekonomi negara wajar menjadi keutamaan tertinggi.

“Kesuraman ekonomi Malaysia mesti dicergaskan kembali dan usaha ini mesti dilipat gandakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Merujuk kepada perkembangan politik semasa juga ulas Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu lagi, krisis kepimpinan negara akhirnya selesai dan suasana gawat politik telah reda serta telah terbit fajar baru untuk Malaysia.

“Sesuatu yang mesti kita hargai dari semua episod ini ialah betapa matangnya rakyat Malaysia.

“Negara terus aman dan damai. Tiada yang ke jalan raya dan menunjuk rasa. Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong telah melaksanakan tanggungjawab seperti dibentangkan dalam Perlembagaan negara. Rakyat tidak panik dan bertindak keburuan.

“Terima kasih rakyat Malaysia kerana sikap sangat sabar dan bertanggungjawab ini. Anda semua adalah petunjuk sebenar bangsa yang berkemajuan,” katanya.

Tambahnya lagi, sekarang terpulang kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan rakan-rakan gabungannya untuk mengembalikan kepercayaan rakyat setelah apa yang berlaku.

Seterusnya, Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau berpandangan kini adalah masa untuk semua pihak kembali bertaut sebagai sebuah bangsa dan negara.

“Apa yang berlaku seminggu dua ini, adalah lumrah dalam demokrasi yang semakin dewasa tetapi juga ‘volatile’.

“Kepada semua rakyat Malaysia, keutamaan kita adalah tanah air dan masa depannya.

“Setiap dari kita menyimpan cita-cita untuk Malaysia yang terbaik. Inilah persamaan yang selalu kita lupai,” ujarnya.

Jelasnya juga, jaminan masa depan Malaysia yang lebih baik itu tidak memerlukan pidato yang inspiratif atau retorik yang menusuk kalbu.

“Ia memerlukan kerja keras, idea yang tulen dan keeratan kerjasama rentas kaum dan agama.

“Untuk Malaysia nan satu-satunya ini, marilah kita jadikan semua ini harapan nyata,” serunya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.