Kabinet Baharu Mestilah Berpandukan Berbilang Kaum, Bantu Ringan Beban Rakyat

JOHOR BAHRU, 2 Mac – Kabinet Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang akan dilantik harus tidak dilihat sebagai kerajaan Melayu-Bumiputera, kerana Malaysia adalah negara yang berbilang kaum,

Sebaliknya kerajaan baharu perlu memenangi hati rakyat dengan melantik menteri yang baik dan berwibawa dari semua kaum, ujar Ketua UMNO Bahagian Kluang, Datuk Md Jais Sarday.

“Ini adalah harapan terakhir kerajaan untuk melantik orang yang boleh mengupayakan ekonomi dan membantu meringankan penderitaan rakyat.

“Kita perlu memenangi hati rakyat dengan melantik menteri yang baik dan berwibawa dari semua kaum.

“Kabinet baru tidak harus dilihat sebagai hanya Melayu, kerana kita adalah negara berbilang kaum,” ujarnya yang juga Bendahari UMNO Negeri Johor

Tambahnya, Tan Sri Muhyiddin juga diharap dapat melantik pemimpin-pemimpin profesional dan berkebolehan dalam Kabinetnya, dan bukan hanya memberi ganjaran kepada yang setia atau mereka yang menyokongnya dalam perjuangan politik baru-baru ini.

Beliau juga berkata, Ahli Parlimen yang menghadapi tuduhan mahkamah atau mereka yang mempunyai latar belakang yang tercemar tidak boleh menjadi sebahagian daripada Kabinet baharu namun ada cara lain untuk memberi ganjaran kepada para loyalis atau penyokong, termasuk memberi mereka kedudukan dalam GLC.

Jais berkata jika ada keperluan khusus untuk profesional yang berkemampuan dari sektor swasta untuk dilantik ke dalam Kabinet, maka Perdana Menteri boleh mengambil mereka sebagai senator.

Dalam perkembangan lain, Jais berkata beliau yakin Datuk Hasni Mohammad dapat memperoleh barisan yang terdiri daripada semua kaum, termasuk wakil masyarakat India dan Cina dalam kepimpinannya sebagai Menteri Besar Johor yang baru.

“Saya percaya Hasni, seorang pemimpin berpengalaman, dapat melakukan yang terbaik untuk memperbaiki ekonomi negara dan membantu rakyat,” katanya.

Hasni dijangka mengumumkan barisan 10 anggota majlis eksekutif negeri dalam masa yang terdekat. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.