Tipu SD: Pemimpin UMNO Buat Laporan Polis

KUALA LUMPUR, 1 Mac – Satu laporan polis bersama telah dibuat oleh beberapa pemimpin UMNO berhubung dakwaan Tun Dr. Mahathir Mohamad kononnya telah mendapat akuan berkanun (SD) yang menyokong dirinya menjadi Perdana Menteri ke-8.

Ujar Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Dr. Najmil Faiz Mohamed Aris, beliau bersama-sama Ketua UMNO Bahagian Ampang Datuk Ismail Kijo dan Ketua UMNO Pandan Jamauludin Ropa telah membuat laporan tersebut kerana ianya jelas adalah dakwaan jahat dan provokasi melalui sebaran media sosial untuk menggugat serta mengancam proses demokrasi negara.

“Tun kata telah mendapat sokongan SD tapi semalam tular video beberapa Ahli Parlimen yang menafikan memberi sokongan kepada Tun Dr. Mahathir sebaliknya mereka menyokong penuh Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

“Tindakan Tun yang berbohong ini jelas bertentangan dengan Seksyen 124B Kanun Keseksaan kerana menganggu proses demokrasi berparlimen yang sedang berlangsung dan telah diputuskan oleh Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Agong.

“Tindakan ini juga adalah salah disisi undang-undang dan tidak bermaruah seperti mana yang dilakukan Tun dan pemimpin PH,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Tambah Najmil, PH sebenarnya terdesak untuk berkuasa sehingga sanggup menipu SD dengan mengatakan telah mendapat sokongan 114 Ahli Parlimen menyokong Tun Mahathir.

“Tindakan tidak bermaruah dan jenayah ini adalah usaha terakhir untuk merampas kuasa daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin yang telah mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

“Justeru, saya menggesa pihak PDRM serta pihak bertanggungjawab untuk segara mengambil tindakan termasuk menyiasat ketulenan dakwaan ini kerana ia mampu mengancam ketenteraman awam,” tegas beliau. UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.