Senarai 114: PH Perlu Berhenti Hasut Rakyat

KUALA LUMPUR, 1 Mac – Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa berkata, Pakatan Harapan (PH) perlu berhenti menghasut rakyat dengan bukti yang tidak betul berkaitan pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ke-8.

Ujar beliau yang dipetik dari ciapan di Twitter, senarai kononnya 114 Ahli Parlimen telah menyokong PH juga adalah satu penipuan kerana telah terbukti ada Ahli Parlimen yang menafikannya.

“Nah ini satu lagi kes tipu list PH114… tengok no 41….YB Dr. Jeffry Kitingan (Keningau) sedangkan YB Jeffry sendiri ada di rumah TSMY malah sama pergi ke istana.

“Berhentilah menghasut rakyat cara ini…
Ada banyak lagi makin terbongkar..Jangan malukan Tun,” ujar beliau.

Ciapan Annuar berikutnya mengatakan, senarai 114 PH itu mempunyai unsur percubaan menipu dan menghasut orang ramai malah ia juga ada unsur menderhaka kepada Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Agong.

“Mungkin laporan polis patut dibuat supaya siasatan dilakukan segera demi kepentingan orang ramai,” tegas beliau.

Pelantikan Muhyiddin, 72, yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebagai Perdana Menteri kelapan, dibuat selaras Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Ahli Parlimen Pagoh itu dilantik ke jawatan nombor satu kerajaan susulan peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad pada 24 Feb, sehingga mencetuskan krisis politik tanah air, menyaksikan kerajaan PH hilang kuasa dan perubahan gabungan parti-parti politik. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.