Muafakat Nasional Serlah Kematangan Dalam Kegawatan Politik Ciptaan PH Dan Tun

KUALA LUMPUR, 1 Mac – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi berkata, di tengah kegawatan politik ciptaan Pakatan Harapan (PH) dan Tun Dr. Mahathir Mohamad, Muafakat Nasional bangkit sebagai satu ‘force’ politik yang berhati nurani.

Jelas beliau, muafakat terus mempamerkan kematangan politiknya dan di mata rakyat Muafakat Nasional adalah relevan sebagaimana kemenangan di Pilihan Raya Kecil (PRK) Tg. Piai dan Kimanis.

“Muafakat Nasional tampil membantu tanpa politiking atau mengambil kesempatan. UMNO-PAS-MCA-MIC-PBRS sentiasa sepakat dalam keputusan yang diambil.

“Semuanya demi rakyat, demi kestabilan politik dan demi kemakmuran negara. Disaat genting, bersendirian dan memerlukan sokongan, Tun berterusan menghentam dan mentohmah UMNO tetapi Muafakat Nasional bersetuju menyokong Tun M sebagai Perdana Menteri walaupun Kerajaan PH telah runtuh kerana isu peralihan kuasa.

“Malangnya Tun terus berdolak-dalik dan berubah-ubah pendirian. Dia mengheret krisis ini berpanjangan. Justeru, Muafakat Nasional mengambil keputusan menyokong Tan Sri Muhyiddin sebagai Perdana Menteri demi menamatkan segera drama politik Mahathir,” ujar beliau menerusi status yang dimuatnaik di laman facebook.

Tambah Puad, Muafakat Nasional boleh sahaja bermain kayu tiga, berkecuali dan bertindak opotunis tetapi muafakat terus mempamerkan kematangan politiknya.

“Rakyat wajar buka mata bahawa hati nurani Muafakat Nasional ialah agenda rakyat. Tahniah terutamanya UMNO-PAS dan Zahid-Hadi Awang… Menjunjung kasih Tuanku,” ujar beliau. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.