Zahid Ucap Tahniah Kepada Muhyiddin, Junjung Kasih YDP Agong

KUALA LUMPUR, 29 Feb – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan syukur berakhirnya kemelut pelantikan Perdana Menteri.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu dalam satu hantaran di Facebook juga mengucapkan tahniah kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin atas pelantikan sebagai Perdana Menteri kelapan.

“Alhamdulillah. Tahniah Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik Perdana Menteri Malaysia kelapan.

“Menjunjung kasih KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong. Daulat Tuanku,” katanya.

Petang tadi, Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan melantik Ahli Parlimen Pagoh Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan sebagaimana dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin.

“Seri Paduka Baginda telah berkenan melantik YB Tan Sri Mahiaddin Bin Md Yasin (Muhyiddin) sebagai Perdana Menteri selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan,” menurut Ahmad Fadil.

Menurut Ahmad Fadil lagi, Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan PM akan diadakan 10.30 pagi esok di Istana Negara, di sini.

Sementara itu Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa dalam ciapan di Twitternya turut melahirkan kesyukuran.

“Kepada Allah kita bersyukur. Kehadapan DYMM SPB YDPA kita merafak sembah menjunjung kasih.

“Kepada semua rakan-rakan ahli Parlimen yang bersolidariti secara padu kita berterima kasih. Kepada rakyat yang sabar dan setia negara kita ucap penghargaan.

“Jangan ada riak atau takabur. Belalah rakyat dan negara,” tegasnya.

Begitu juga dengan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang turut mengucapkan tahniah kepada Muhyiddin.

“Selamat berkhidmat,” katanya.

Untuk rekod, semalam Barisan Nasional dan PAS sepakat mencalonkan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Kelapan untuk perkenan Duli Yang Maha Mulia Seri Padukan Baginda Yang di-Pertuan Agong. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.