YDP Agong Perkenan Lantik Muhyiddin Yassin PM 8

KUALA LUMPUR, 29 Feb – Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan melantik Ahli Parlimen Pagoh Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai PM Kelapan.

Demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin di sini hari ini.

“Setelah mendapat representasi daripada semua ketua-ketua parti politik yang mewakili parti masing-masing serta Ahli Dewan Rakyat yang bebas, pada hemat Seri Paduka Baginda, Ahli Dewan Rakyat yang mungkin mendapat kepercayaan majoriti Ahli-ahli Dewan Rakyat ialah YB Tan Sri Mahiaddin Bin Md Yasin (Muhyiddin), Ahli Parlimen Pagoh (P143).

“Seri Paduka Baginda telah berkenan melantik YB Tan Sri Mahiaddin Bin Md Yasin (Muhyiddin) sebagai Perdana Menteri selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan,” menurut Ahmad Fadil.

Menurutnya, Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan PM akan diadakan 10.30 pagi esok di Istana Negara.

“Seri Paduka Baginda bertitah bahawa proses pelantikan Perdana Menteri tidak boleh dilengah kerana negara memerlukan kerajaan demi kesejahteraan rakyat dan negara yang kita cintai bersama.

“Seri Paduka Baginda bertitah bahawa ini adalah keputusan terbaik untuk semua dan baginda menzahirkan harapan agar kemelut politik ini,” tambah Ahmad Fadil.

Istana Negara hari ini telah menerima senarai pencalonan nama-nama bakal Perdana Menteri daripada ketua-ketua parti politik yang mempunyai wakil dalam Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Rakyat yang bebas.

Menurut Ahmad Fadil lagi, proses tersebut adalah lanjutan daripada titah Yang di-Pertuan Agong dengan ketua-ketua parti politik dan Ahli Dewan Rakyat yang bebas diminta untuk mengemukakan pencalonan nama-nama Ahli Dewan Rakyat sebagai bakal Perdana Menteri.

Seri Paduka Baginda juga katanya turut menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada rakyat dan semua yang terlibat khususnya agensi-agensi kerajaan, keselamatan dan pihak media.

Semalam, Barisan Nasional dan PAS sepakat mencalonkan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Kelapan untuk perkenan Duli Yang Maha Mulia Seri Padukan Baginda Yang di-Pertuan Agong. – UMNO ONLINE

[gview file=”https://umno-online.my/wp-content/uploads/2020/02/IstanaNegaraPM.pdf.pdf”]

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.