SD UMNO Melaka Sudah Lengkap Untuk Tubuh Kerajaan Negeri – Ab Rauf

MASJID TANAH 29 Feb – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, perakuan bersumpah (SD) UMNO Melaka sudah lengkap dan akan dipersembahkan kepada Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob dalam masa terdekat.

Jelasnya beliau, dengan jumlah SD itu beliau yakin UMNO boleh menubuhkan kerajaan di negeri itu.

“Tunggu dan lihat, yang pastinya kita tidak mahu seperti negeri lain yang telah berubah kepada pemerintahan kerajaan perikatan nasional.

“SD UMNO ketika ini sudah lengkap dan menunggu masa yang sesuai,” ujar beliau dalam satu sidang media yang diadakan di kediamannya Jumaat malam.

Tambah Ab Rauf, UMNO Melaka sentiasa membuka pintu kerjasama dengan parti lain bagi bersama-sama mentadbir negeri tersebut.

Ketika ditanya adakah dibincang berkaitan nama calon Ketua Menteri Melaka yang baharu, Ab Rauf menjelaskan kesemua 13 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO dan Barisan Nasional (BN) semenangnya layak bagi jawatan itu.

Namun begitu, beliau akan bertemu bersama pucuk pimpinan pusat bagi menentukan calon yang terbaik untuk diangkat sebagai Ketua Menteri jika perubahan pemerintahan negeri itu berlaku.

Hadir sama dalam mesyuarat itu, ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Ir Idris Haron serta semua peringkat pimpinan UMNO negeri. – UMNO ONLINE