Muhyiddin PM 8: Tahniah Diucapkan, Tugas Penting Kembalikan Fajar Baharu Negara Dan Rakyat

KUALA LUMPUR, 29 Feb – Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan mengucapkan tahniah kepada Tan Sri Muhyiddin bin Yassin atas pelantikan sebagai Perdana Menteri Malaysia kelapan.

Melalui perlantikan itu juga jelas Mohamad, bermulalah tugas berat tapi sangat penting untuk semua dalam mengembalikan Malaysia ke landasan kemajuan yang sangat diperlukan.

“Sesungguhnya perlantikan beliau telah membawa fajar baru kepada Malaysia dan rakyatnya,” katanya dalam satu kenyataan.

Begitu juga dengan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang turut bersyukur atas pelantikan tersebut dengan tegaknya kerajaan baharu bagi menggantikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang tumbang selepas 22 bulan memerintah negara.

“Alhamdulillah syukur.

“Akhirnya kerajaan baru Perikatan Nasional telah terbentuk setelah kerajaan PH terbubar (collapsed) apabila MP PPBM dan sebahagian MP PKR meninggalkan kerajaan PH.

“Semoga kerajaan Perikatan Nasional mampu membawa negara Malaysia ke mercu kecemerlangan,” katanya.

Manakala seorang lagi Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid bersyukur kemelut politik mengenai pelantikan jawatan Perdana Menteri telah berakhir.

“Berakhir sudah kemelut politik yang telah berlarutan sejak beberapa hari yang lalu dengan perkenan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah bagi melantik Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Malaysia yang kelapan.

“Tahniah diucapkan kepada semua pihak yang telah berusaha gigih menamatkan kemelut politik ini.

“Kini semua rakyat Malaysia perlu terus kekal bersatu-padu, bergerak seiringan bukan hanya demi generasi kini malah untuk generasi yang akan datang. Bersama-sama kita membina semula impian sebenar rakyat Malaysia,” tambahnya.

Dalam perkembangan yang sama, seorang lagi Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, turut mengucapkan tahniah dan berharap dengan pelantikan Muhyiddin negara akan kembali maju jaya.

“Saya mengucapkan tahniah di atas pelantikan YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Malaysia kelapan.

“Sebagai pemimpin yang berasal dari Johor, pelantikan beliau bukan sahaja memberi kebanggaan kepada saya dan seluruh rakyat Johor. Malah menamatkan kemelut perebutan kuasa yang menggusarkan kita semua.

“Semoga Malaysia akan pulih dan kembali maju serta berjaya di bawah kepimpinan Tan Sri,” ujarnya.

Petang tadi, Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan melantik Ahli Parlimen Pagoh Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan sebagaimana dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin.

“Seri Paduka Baginda telah berkenan melantik YB Tan Sri Mahiaddin Bin Md Yasin (Muhyiddin) sebagai Perdana Menteri selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan,” menurut Ahmad Fadil.

Menurutnya, Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan PM akan diadakan 10.30 pagi esok di Istana Negara.

Semalam, Barisan Nasional dan PAS sepakat mencalonkan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Kelapan untuk perkenan Duli Yang Maha Mulia Seri Padukan Baginda Yang di-Pertuan Agong. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.