Drama Politik Belum Kesudahan… Rakyat Gembira Peletakan Jawatan Tommy Thomas – Zahida

KUALA LUMPUR, 29 Feb – Dalam drama politik yang masih belum berkesudahan, ini adalah berita gembira kepada semua rakyat Malaysia, ujar Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia Datuk Zahida Zarik Khan, mengulas mengenai berita perletakan jawatan Peguam Negara Tommy Thomas, petang Jumaat.

Katanya dalam satu hantaran di Facebook, Tommy adalah Peguam Negara di zaman kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang paling gagal dalam sejarah.

“Pendakwaan terpilih, gagal dakwa pembunuh Adib, gagal dakwa wakil rakyat Dap yang didakwa merogol, yang terbaru bebaskan OKT (Orang Kena Tuduh) berkait kumpulan pengganas LTTE (Harimau Pembebasan Tamil Eelam),” bidasnya.

Menurut laporan sebuah portal ekonomi berbahasa Inggeris The Edge, Tommy menyerahkan surat peletakan jawatan beliau kepada Perdana Menteri Interim Tun Dr Mahathir Mohamad yang melantiknya ke jawatan tersebut untuk dua tahun yang sepatutnya berakhir pada bulan Jun.

The Edge turut memetik sumber yang tidak dinyatakan bahawa Thomas mahu meletakkan jawatan sementara Tun Dr Mahathir masih merupakan perdana menteri kerana beliau yang melantik jawatan tersebut kepadanya.

Justeru, Zahida yang turut mengucapkan syabas kepada rakyat di negara ini berharap agar Peguam Negara yang baharu kelak akan dapat mengembalikan maruah istitusi keadilan di Malaysia.

Begitu juga dengan reaksi ringkas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia di platform media sosial yang sama bersyukur atas tindakan Tommy tersebut.

“Alhamdulillah, Tommy Thomas Peguam Negara sudah letak jawatan!

“Latheefa Koya (Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) bila lagi?

“Siapa lagi dalam senarai untuk letak jawatan atau patut dipecat? Soalnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.