Zahid Ucap Tahniah Kepada Hasni, Rakam Terima Kasih Kepada Sultan Johor Atas Kepercayaan

KUALA LUMPUR, 28 Feb – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan tahniah kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor Datuk Ir Hasni Mohammad sebagai Menteri Besar Johor yang baharu.

“Sekalung tahniah buat YAB Datuk Hasni Mohammad, atas perlantikan Menteri Besar Johor ke-18.

“Selamat menjalankan amanah yang diberikan dengan baik untuk Kerajaan Negeri Johor,” ujarnya dalam satu hantaran di Facebook.

Hasni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut mengangkat sumpah di hadapan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar di Istana Bukit Serene, Johor Bahru hari ini.

Berangkat sama, Duli Yang Amat Mulia (DYAM) Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk turut merakamkan ucapan terima kasih kepada DYMM Sultan Johor di atas kepercayaan yang diberikan kepada Hasni.

“Daulat Tuanku,” katanya lagi.

Dalam platform media sosial yang sama, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin juga mengucapkan tahniah kepada Hasni.

“Tahniah YAB Datuk Hasni Mohammad, semoga Menteri Besar Johor yang ke-18, daripada parti UMNO dapat mengemudi Johor ke puncak kegemilangan demi kesejahteraan Bangsa dan kemakmuran negeri Johor,” ujar bekas Menteri Besar Johor itu.

Begitu juga Naib Presiden UMNO yang juga Ahli Parlimen Padang Terap Datuk Seri Mahdzir Khalid turut berkongsi kegembiraan ke atas pelantikan Ir Hasni. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.