UMNO Dan Muafakat Nasional Tidak Terlibat Runtuhnya Kerajaan PH

KUALA LUMPUR, 28 Feb – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Razali Ibrahim berkata, rakyat perlu tahu bahawa apa yang terjadi dalam polemik politik negara sehingga tumbangnya sebuah kerajaan, bukanlah salah UMNO mahupun Muafakat Nasional.

Jelas beliau, apa yang terjadi adalah kerana perpecahan dalaman Pakatan Harapan (PH) sendiri yang sentiasa berebut jawatan.

“Ada yang mengatakan drama polemik politik negara ini bermula bila UMNO dan PAS membuat ‘retreat’ di Janda Baik. Anak saya sendiri cakap begini sebab kawan-kawan diapun kata macamtu. Saya nak beritahu, kita dapat notis dari awal pasal ‘retreat’ ini dan kita sikitpun tak bincang pasal kerajaan PH.

“Kita juga tidak taupun Perdana Menteri nak letak jawatan. Ini ‘retreat’ kita yang pertama kali bersama-sama PAS dan buat pertama kali boleh ambil gambar. Kita nak beritahu kita sedang seronok ber’retreat’ sambil makan durian. Apa yang kita bincangkan adalah hala tuju Muafakat Nasional,” ujar beliau ketika menjadi tetamu jemputan dalam program Hujah anjuran Penerangan UMNO Malaysia yang disiarkan secara langsung di Facebook UMNO-Online, Khamis malam.

Tambah Razali, inilah akibatnya politik persepsi yang akhirnya merosakkan politik negara.

“Saya nak beritahu, kita tidak ada kuasa untuk mengarahkan Perdana Menteri letak jawatan, tidak kuasa untuk nak suruh PH runtuh tapi mereka pandai olah dan kebetulan kita ‘reatreat’.

“Kita tidak ada kena mengena… makan durian betul.. kita gembira berbincang mengenai Muafakat Nasional tetapi UMNO yang sering dituduh menjadi punca segala masalah,” tegas beliau.

Sementara itu dalam program yang sama, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Mohd Razlan Rafii berkata, rakyat sedang ternanti-nanti apakah keputusan semua Ahli Parlimen yang telah ditemuduga oleh Yang Dipertuan Agong.

“Perkara ini belum ada jawapan tapi tiba-tiba Perdana Menteri interim umum akan ada sidang Parlimen pada 2 Mac dan ini menimbulkan keadaan caca-marba. Rakyat kini sedang menilai apa yang terjadi dengan politik negara ini.

“Sepatutnya kita tunggu pengumuman yang bakal dibuat oleh Yang Dipertuan Agong selepas mesyuarat Majlis Raja-Raja dan bukannya mendahului Yang Dipertuan Agong,” tegas beliau.

Razlan turut menegaskan bahawa apa yang terjadi ini sama sekali tidak ada kena mengena dengan UMNO melainkan berpunca daripada perebutan kuasa dalam PH itu sendiri.

“Pergaduhan mereka ini bermula dari awal lagi kerana dari awal mereka berebut kuasa. Mereka yang kecil hati, mereka yang bergaduh, mereka yang berpecah tetapi UMNO yang dipersalahkan. Selepas Tun meletak jawatan mereka mengangkat Tun sebagai hero tetapi esoknya pula mereka mencela Tun. Anwar sendiri cakap Tun tidak patut cakap berkaitan pasal 2 Mac (Sidang Parlimen Khas) ini,” katanya.

Seorang lagi Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Armand Azha Abu Hanafiah berkata, polemik politik negara ini berlaku kerana PH sendiri yang mendesak Tun untuk menyerahkan kuasa kepada Anwar Ibrahim.

“Isu hari ini bila sudah terjadi pembubaran kerajaan yang mana sebuah kerajaan yang dibina selama 22 bulan atas dasar fitnah musnah kerana masalah dalaman mereka sendiri, kenapa perlu menyalahkan UMNO dan Muafakat Nasional.

“Ini yang perlu kita terangkan kepada rakyat, apa yang terjadi bukan masalah Muafakat Nasional… Muafakat Nasional tidak terlibat sama sekali dalam isu ini. PH jatuh kerana masalah mereka sendiri.

“Kita lihat, adakah kita yang tawar diri atau mereka yang tawar diri untuk bekerjasama dengan kita? Tapi banyak cerita yang timbul seolah-olah Muafakat Nasional yang terhegeh-hegeh kepada mereka. UMNO konsisten, kita sanggul kekal sebagai pembangkang dan tunggu PRU-15 kerana kita berpegang dan menghormati sistem Raja-Raja Melayu jadi lebih baik kita tunggu keputusan mesyuarat Raja-Raja Melayu,” ujar beliau. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.