PH Perlu Buktikan Sokongan, Kerajaan Negeri Melaka Masih Tergantung – Ab Rauf

KUALA LUMPUR, 27 Feb- Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menolak kenyataan Ketua Menteri negeri berkenaan, Adly Zahari bahawa kerajaan negeri itu berada dalam keadaan ‘status quo’ dan segala urusan pentadbiran berjalan seperti biasa.

Serentak itu, beliau menyeru supaya pihak Pakatan Harapan (PH) membuktikan kepada Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Dr Mohd Khalil Yaakob dengan segera iaitu menyerahkan Akuan Bersumpah (SD) tanda sokongan majoriti wakil rakyat terhadap kerajaan negerinya.

“Sekiranya tidak dapat membuktikan bahawa ianya tidak mendapat majoriti daripada sokongan ini, maka kerajaan negeri masih tergantung.

“Oleh itu pihak BN Melaka menyarankan agar PH segera membuktikan bahawa mereka mempunyai jumlah majoriti yang cukup membentuk kerajaan negeri Melaka,” katanya kepada media di lobi Menara Dato’ Onn, hari ini.

Tambah Ab Rauf lagi, BN negeri juga sedang bersedia sekiranya cukup untuk majoriti membentuk kerajaan negeri dan akan mengemukan kepada TYT dalam masa terdekat.

Sebelum ini dilaporkan Adly memaklumkan bahawa pentadbiran dan jentera Kerajaan Negeri Melaka masih berfungsi seperti biasa di sebalik perkembangan yang sedang berlaku di peringkat kerajaan persekutuan mutakhir ini.

Terdahulu PH Melaka mentadbir kerajaan negeri dengan 15 kerusi DUN berbanding BN memiliki 13, kesemuanya daripada UMNO. Daripada 15 kerusi DUN dimenangi PH, lapan (Dap), tiga (PKR), Amanah dan Bersatu masing-masing menang dua kerusi DUN pada PRU14 yang lepas.

Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dijadual 6 hingga 11 Mac ini, ditangguh ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian ekoran situasi politik negara pada masa ini. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.