Ketua-ketua UMNO Bahagian Diberi Taklimat Isu Semasa, Arahan Persiapan Jentera Pilihan Raya – Annuar

KUALA LUMPUR, 27 Feb – Seramai 180 dari 191 Ketua UMNO bahagian daripada seluruh negara hari ini mengadakan perjumpaan khas bersama pucuk pimpinan parti berhubung kemelut politik dan isu-isu semasa yang melanda negara.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata mereka telah berkongsi maklumat mengenai perkara-perkara semasa kerana adalah mustahak mereka diberikan gambaran yang tepat memandangkan terlalu banyak berita-berita yang separuh matang dan berita-berita yang sengaja disensasikan.

“Jadi sebagai salah sebuah parti politik yang terbabit dalam kemelut semasa yang sedang diuruskan UMNO mesti mengambil pendekatan yang bertanggungjawab untuk memudahkan dan memurnikan proses terutama sekali di saat Istana Negara sedang mengambil tindakan-tindakan mengikut peraturan dan juga perlembagaan.

“Itu mestilah dihormati dan tidak harus ada sebarang spekulasi dan sebagainya yang mungkin boleh menganggu perjalanan dan juga proses yang sedang dilakukan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong(YDPA).

“Oleh kerana itu kita telah meminta saf pimpinan UMNO untuk hanya menerima pakai berita-berita yang sahih sahaja dan mesti menunjukkan hormat dan juga mematuhi prosedur-prosedur yang sedang dijalankan,” katanya pada sidang media khas di sini, hari ini.

Turut serta Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah dan Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Mohd Sumali Reduan.

Annuar seterusnya menambah ibu pejabat parti juga telah mengeluarkan arahan untuk persiapan jentera Pilihan Raya di semua peringkat selari dengan keputusan parti yang telah memohon supaya Parlimen dibubarkan.

Maka tambahnya lagi adalah wajar bagi parti untuk membuat persiapan ke arah itu walaupun tidak tahu keputusan yang dibuat oleh Istana Negara kerana sebagai sebuah parti kesiapsiagaan Pilihanraya mesti berjalan secara berterusan.

Pada sidang media itu juga beliau turut memaklumkan pekeliling telah dikeluarkan untuk parti bergerak bersama-sama dengan PAS melalui Muafakat Nasional .

“Saya telah mengeluarkan satu pekeliling dan arahan berdasarkan keputusan yang dibuat oleh Presiden dan Majlis Kerja Tertinggi(MKT) UMNO supaya jentera pilihanraya BN dan UMNO seluruh negara mula bergerak bersama-sama dengan PAS melalui Muafakat Nasional untuk membuat persiapan-persiapan yang berkaitan dengan Pilihanraya.

“Dan kita memberikan garis-garis panduan tentang bagaimanakah makenisme kerjasama antara UMNO dan PAS disemua peringkat termasuk negeri, bahagian,DUN, cawangan dan PDM-pdm dan arahan-arahan spesifik telah dikeluarkan,” tambahnya.

Annuar turut memberitahu segala maklumat dan kenyataan rasmi daripada parti hanya dikeluarkan oelh Setiausaha Agung dan Presiden parti sahaja.

“Saya ingin membuat sedikit ‘reference’, saya dan Datuk Takiyuddin telah membuat dua ‘statement’ berhubung dengan satu laporan yang dibuat oleh The Star dan menjelaskan apa-apa juga maklumat dan berita daripada pihak PAS dan UMNO melalui Muafakat Nasioanal.

“Yang rasmi adalah datang daripada Presiden UMNO dan Setiausaha Agung. Itu yang menjadi ‘standing instruction’ kepada jentera parti kerana ada sedikit kekeliruan dalam laporan tersebut, maka kita telah mengeluarkan penegasan pendirian kita adalah sama dan akan menyerahkan sepenuhnya kepada budi bicara Seri Paduka Baginda Yang Di pertuan Agong dan tidak ada sebarang kenyataan lain sehingga Istana Negara membuat keputusan secara rasmi,” ujarnya. -UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.