Tunjukkan Solidariti Nasional, Serahlah Pada Rakyat – Annuar

KUALA LUMPUR, 26 Feb – Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa menyeru semua rakyat termasuk parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk memainkan peranan serta tunjukkan solidariti nasional dengan memberikan kerjasama menjaga keamanan dan keharmonian serta memberi kesetiaan penuh tanpa berbelah bagi kepada Yang Di-Pertuan Agong.

Beliau berkata demikian dalam ciapan Twitternya pagi ini berikutan kemelut politik yang masih berlarutan sejak Ahad lalu.

“Kita yakin pada kebijaksanaan pemerintahan Yang Di-Pertuan Agong. Daulat Tuanku,” katanya.

Dalam masa yang sama beliau berkata, Tun Dr Mahathir Mohamad mencuba sedaya upayanya selama 22 bulan tetapi Pakatan Harapan (PH) terbakar dari dalam.

“Ini kerana ramai anggotanya suka bermain api. Usaha meminta Tun memadamnya, bukan saja tidak adil buat Tun malah tiada upaya bagi Tun. Serahlah pada rakyat.
Beri Tun peluang cuci tangan dan berehat sebagai negarawan,” katanya yang juga Ahli Parlimen Ketereh.

Dalam perkembangan yang lain, Annuar turut berterima kasih kepada Penasihat Media dan Komunikasi Perdana Menteri, Datuk A.Kadir Jasin yang memberikan penjelasan bahawa Tun Dr Mahathir meletak jawatan sebagai Pengerusi Bersatu selepas kecewa apabila majoriti ahli MPT parti itu lebih mendengar cakap
Setiausaha Politiknya selain akan menubuhkan kerajaan baru dengan tidak akan menjemput kleptokrat dalam kerajaannya nanti.

“Kita pun kebingungan dengan apa yang berlaku… kita ‘dok’ retreat di Janda Baik, tiba-tiba Ahad di ‘panggil’… PMOlah, Sheratonlah, Sri Kembanganlah… lepas tu drama berlaku. Skrip bertukar tiap hari… baru hari ini jelas. Terima kasih Datuk Kadir Jasin,” katanya dalam ciapan Twitternya yang lain.

Dilaporkan, Ahad lalu UMNO-PAS telah selesai mengadakan pemukiman di Janda Baik, Pahang dengan tekad untuk bersama menjalin muafakat yang lebih istiqamah atas nama Muafakat Nasional.

Pada hari tersebut juga telah muncul desas-desus berhubung kemungkinan pengaturan semula landskap politik negara yang mana beberapa mesyuarat penting parti-parti politik berlangsung di beberapa lokasi berbeza dengan diakhiri makan malam melibatkan sejumlah ahli-ahli Parlimen di sebuah hotel di Ibu Kota.

Menyusul pada hari berikutnya, Tun Dr Mahathir telah meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan juga pengerusi Bersatu seterusnya Bersatu keluar dari gabungan PH, diikuti Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Azmin Ali dan 10 ahli Parlimen yang lain.

Ekoran itu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Dr Mahathir sebagai perdana menteri interim, selepas menerima peletakan jawatannya dan membatalkan pelantikan menteri-menteri kabinet.

Semalam pula, Barisan Nasional (BN), PAS dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) sepakat menolak sebarang gabungan untuk membentuk kerajaan jika membabitkan Dap dan mahukan Parlimen dibubarkan. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.