Tun Mahathir… Akhirnya Yang Disalahkan Tetap Juga UMNO

KUALA LUMPUR, 26 Feb – Hari ini Tun Dr Mahathir Mohamad memaklumkan antara sebab yang mendorong beliau meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri (PM) Isnin lepas adalah kerana UMNO.

Sehubungan itu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki membidas keputusan tersebut kerana katanya, yang berdolak-dalih nak serahkan jawatan PM kepada Anwar ialah Tun Mahathir.

“Yang bergaduh dalam Mesyuarat Majlis Presiden isu tarikh penyerahan jawatan PM – PPBM, Dap, PKR dan PAN.

“Yang isytihar keluar daripada PH – PPBM, yang isytihar keluar parti – pimpinan PKR, yang letak jawatan PM – Tun Mahathir, yang menyebabkan terbubarnya Kerajaan PH – Tun Mahathir apabila beliau letak jawatan PM.

“Akhirnya yang disalahkan tetap juga UMNO,” katanya dalam hantaran dalam facebooknya.

Dilaporkan, Dr Mahathir dalam perutusan khas ke seluruh negara yang disiarkan melalui stesen-stesen televisyen utama dan pelbagai platform media sosial pada pukul 4.45 petang tadi memaklumkan salah satu sebab utama beliau meletak jawatan sebagai PM ialah kerana tidak dapat menerima jika parti UMNO menyertai kerajaan campuran yang mungkin diwujudkan.

“Saya sanggup terima ahli UMNO yang keluar UMNO dan menyertai parti lain. Tetapi UMNO akan sertai Kerajaan campuran ini sebagai Parti UMNO. Ini tidak dapat diterima oleh saya. Maka terpaksalah saya letak jawatan.”

Katanya beliau telah minta untuk diberi masa, tetapi “parti saya BERSATU memutuskan untuk keluar dari Pakatan Harapan.

“Ada juga ahli dari parti komponen lain yang akan keluar. Dengan perlakuan ini, kerajaan Pakatan Harapan akan gugur.

“Kesannya jika BERSATU sokong PAS dan UMNO maka parti-parti yang kalahlah yang akan diri kerajaan. Kerajaan ini akan didominasi oleh UMNO sebagai parti yang terbesar.”

Kemelut politik negara tercetus Isnin lepas menimbulkan pelbagai spekulasi selepas Dr Mahathir meletak jawatan dan kemudian beliau dilantik sebagai Perdana Menteri Interim oleh Yang di-Pertuan Agong iaitu kira-kira enam jam selepas menyerahkan surat perletakan jawatan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.