Rakus Bertelingkah Sama Sendiri, PH Tumbangkan PH… Bubar Parlimen Keputusan Tepat – Zaidi

JEMPOL, 26 Feb – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Sembilan Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir berkata kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) beberapa hari lepas adalah sesuatu yang di luar jangka walaupun majoriti rakyat sememangnya telah diketahui bosan dan jelik dengan kepimpinan mereka yang gagal mentadbir dengan baik, namun proses kejatuhannya itu berlaku terlalu cepat dan mengejutkan.

Bidasnya, semua itu berlaku kerana kepimpinan di dalam PH yang rakus serta hanya mementingkan kuasa hingga bertelingkah sesama sendiri yang akhirnya menyebabkan kerajaan mereka tumbang dengan sendirinya.

“Ini merupakan satu sejarah baharu, bukan sahaja di Malaysia malah juga mungkin sejarah dunia apabila sebuah kerajaan di zaman moden ini ditumbangkan oleh pemimpin mereka sendiri. Bukannya daripada parti lawan.

“Tindakan kepimpinan PH yang mementingkan diri sendiri itu merupakan satu pengkhianatan besar kepada amanah rakyat yang mengharapkan mereka dapat mentadbir negara dengan cemerlang. Namun, itu tidak berlaku sama sekali.

“Sebaliknya, rakyat didendangkan dengan cerita perebutan kuasa di kalangan pemimpin mereka hampir setiap hari sejak mereka menjadi kerajaan pada Mei 2018 lalu,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Kemucaknya tambah Ketua Pemuda UMNO Bahagian Jempol itu, timbullah perundingan sesama mereka untuk menjatuhkan kerajaan mereka sendiri kerana taksubnya mereka kepada kuasa, langsung tidak menghiraukan perit jerih rakyat yang dahagakan kestabilan ekonomi.

Justeru itu katanya, kepimpinan Muafakat Nasional telah mengambil keputusan yang tepat apabila sebulat suara mencadangkan kepada Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya Parlimen dibubarkan sekali gus mengembalikan semula kuasa kepada rakyat untuk menentukan kerajaan.

“Sebagai sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, ini adalah keputusan yang terbaik kerana rakyatlah yang berhak menentukan masa depan negara.

“Bukannya elit politik yang hanya mementingkan kuasa mereka,” tegasnya lagi.

Sehubungan itu ulasnya lagi, Pemuda UMNO Negeri Sembilan menyambut baik keputusan kepimpinan Muafakat Nasional dalam menguruskan isu ini.

“Keputusan untuk mencadangkan pembubaran Parlimen ini jelaslah membuktikan bahawa Muafakat Nasional khususnya UMNO lebih mementingkan rakyat daripada diri sendiri.

“Yang kita utamakan adalah khidmat bakti kepada rakyat bukannya kuasa semata-mata.

“Lagipun, rakyat sememangnya sudah jemu dan jelik dengan pentadbiran kerajaan PH walaupun mereka baru 21 bulan mentadbir. Banyak keputusan-keputusan strategik yang mereka laksanakan serta dasar-dasar yang diperkenalkan selama ini menimbulkan pertikaian mengenai rasional perlaksanaannya,” katanya.

Dalam perkara yang berkaitan tambahnya lagi, timbul juga persoalan di dalam perlaksanaan undang-undang di negara ini.

“Ia apabila kerajaan PH seolah-olah masuk campur di dalam urusan perundangan hinggakan dalam beberapa kes, ia bersifat memihak dan bukannya berlandaskan prinsip keadilan untuk semua.

“Sampaikan, ada juga kes yang melibatkan sekutu mereka digugurkan begitu sahaja walaupun ia melibatkan isu keselamatan negara.

“Perkara seperti inilah yang membuatkan rakyat semakin bimbang serta kecewa dengan prestasi kerajaan PH,” ujarnya.

Oleh itu gesanya, jalan terbaik adalah memulangkan semula kuasa kepada rakyat biar rakyat menentukan hala tuju negara.

“Kerana negara ini adalah negara demokrasi. Kuasa sebenarnya adalah pada rakyat secara keseluruhannya.

“Apa pun keputusan rakyat di dalam Pilihan Raya Umum itu nanti, kami di Muafakat Nasional bersedia menerimanya. Jika rakyat mahukan Mufakat Nasional menjadi kerajaan, kami berjanji akan berusaha sebaik mungkin untuk menjadi kerajaan yang baik.

“Jika mahu kami sebagai pembangkang, kami juga bersedia menjadi pembangkang yang menjadi ‘check and balance’ kepada kerajaan,” tambahnya.

Apa yang jelas katanya, sejak dari dulu lagi prinsip UMNO adalah berpaksikan kepada politik khidmat bakti, bukannya politik yang menagihkan kuasa semata-mata. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.