Percaturan Politik… Semoga Pemenangnya Adalah Rakyat, Tanah Air Dan Demokrasi

KUALA LUMPUR, 25 Feb – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berharap dalam dalam percaturan politik yang sedang berlaku ini, semoga pemenangnya adalah rakyat, tanah air kita Malaysia dan demokrasi.

Katanya, apa yang berlaku kelmarin dan beberapa hari mendatang akan mendatangkan dampak besar kepada Malaysia.

“Kepada rakan-rakan di persada politik, cita-cita dan aspirasi politik sesungguhnya adalah wajar, selama pandai menginsafi batasan etika dan nilai,” katanya melalui Facebook beliau.

Dalam hal ini, beliau memetik pesan mantan Presiden Indonesia, Gus Dur iaitu: ‘’yang lebih penting dari politik dan segalanya, adalah kemanusiaan’.

“Semoga Allah SWT memelihara dan memberikan kesejukan kepada bangsa dan negara ini.

“Sesungguhnya kekuasaan penuh berada dalam ketentuan Allah SWT jua. Dialah yang memberi kekuasaan kepada sesiapa yang dikehendaki Nya dan mencabut kekuasaan daripada sesiapa yang kehendaki-Nya.”

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau berkata demikian sebagai mengulas perkembangan politik semasa berikutan runtuhnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) selepas Tun Dr Mahathir Mohamad melepaskan jawatannya sebagai Perdana Menteri.

Dr Mahathir turut meletak jawatan sebagai pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan parti itu juga telah keluar daripada gabungan PH.

Sehubungan itu, semalam Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dilaporkan berkenan melantik Dr Mahathir sebagai perdana menteri interim, selepas menerima peletakan jawatannya.

Berdasarkan kedudukannya sebagai perdana menteri interim, Dr Mahathir akan menguruskan pentadbiran negara sehingga perdana menteri baharu dilantik dan Kabinet dibentuk.

Dalam perkembangan tersebut, Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali melalui satu kenyataan memaklumkan Yang di-Pertuan Agong berkenan membatalkan pelantikan menteri-menteri kabinet. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.