Muafakat Nasional Enggan Bersekongkol Dengan Dap, Kembalikan Kuasa Rakyat Memilih

KUALA LUMPUR, 25 Feb – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Md Alwi Che Ahmad berkata Muafakat Nasional tidak akan menyertai kerajaan yang bersekongkol dengan Dap.

Katanya, prinsip Muafakat Nasional ini jelas bahawa tidak mahu adanya Dap dalam kerajaan yang boleh membawakan kemudaratan dan kemakmuran pada negara.

“Muafakat Nasional UMNO, PAS, MCA, MIC dan PBRS tidak akan menyertai mana-mana kerajaan yang bersekongkol di dalamnya Dap!

“Itu pendirian ahli-ahli Dewan Rakyat dari Muafakat Nasional dan memohon Yang Di-Pertuan Agong (YDPA) membubarkan Dewan Rakyat.

“Dengan itu tiada parti yang boleh menggunakan dana kerajaan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU). Adil dan bebas,” katanya dalam hantaran pendek di Facebook, hari ini.

Justeru Alwi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kok Lanas menjelaskan sewajarnya menyerahkan kuasa kepada rakyat.

Sementara itu Ahli Parlimen Tanjung Karang turut bersetuju agar YDPA membubarkan Parlimen dan rakyat diberi mandat untuk memilih.

“Saya baru balik dari Istana Negara, setiap MP diminta mencadangkan nama bakal Perdana Menteri (PM) dan Muafakat Nasional telah bersetuju tidak memilih mana-mana calon PM dan minta Parliman di bubarkan.

“Jika Tun boleh mendapat sokongan lebih dari 112 org Ahli Parlimen maka beliau layak menjadi Perdana Menteri kelapan. Pendirian Muafakat Nasional tetap kekal sebagai pembangkang.

“Jika Tun mahupun Anwar gagal mendapat sokongan 112, maka YDPA boleh membubarkan ‘Parlimen’ inilah yang kita harapkan supaya rakyat diberi mandat untuk memilih kerajaan baru,” tegasnya lagi.

Dilaporkan, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap 222 Ahli Parlimen untuk sesi temu bual peribadi bersama Seri Paduka.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata temu bual ringkas kira-kira dua ke tiga minit seorang bertujuan mendapatkan maklum balas serta pendapat setiap anggota Dewan Rakyat mengenai situasi politik negara.

Temubual yang akan disaksikan oleh Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Mohd Zuki Ali itu, melibatkan dua kumpulan iaitu 90 Ahli Parlimen untuk sesi hari ini dan 132 lagi bagi sesi esok.

Sehubungan itu, Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang diketuai Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk termasuk bekas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak (Pekan) telah hadir ke Istana Negara. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.