Kemelut Politik Negara Ciptaan Mahathir, Kembalikan Kepada Kuasa Rakyat.

KUALA LUMPUR, 25 Feb- Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT)UMNO, Datuk Khusairi Abdul Talib berkata sewajarnya Perdana Menteri interim, Tun Dr Mahathir Mohamad kekal jadi PM hingga akhir penggal tanpa perlu terikat dengan janji untuk serahkan jawatan itu kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, dengan perkembangan terkini Manifesto Pakatan Harapan (PH) sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) 14 kini berkubur dan rakyat tidak lagi boleh menuntutnya kerana Kerajaan PH sudah pun terbubar dan kini adalah kerajaan baru, walaupun pendokongnya komponen parti dan pemimpin yang sama.

“Tun Mahathir berjaya membentuk kabinet baru dan berkemungkinan besar jawatan Menteri Kewangan dipegang sendiri oleh Mahathir, tidak lagi terikat dengan persefahaman PH sebelum ini iaitu PM tak boleh memegang jawatan di Kementerian.

“Tun Mahathir membebaskan Anwar daripada terus dimomokkan sebagai ‘PM in waiting’ atau ‘PM tepi’ kerana janji untuk menyerahkan jawatan PM kepada Anwar sudah tidak laku.

Tambah Khusairi lagi menerusi hantaran di Facebook, hari ini, Muafakat Nasional gabungan UMNO, PAS, MCA, MIC dan PBRS kekalkan status quo selaku pembangkang dan akan terus berusaha memenuhi kehendak rakyat untuk menguburkan PH walau atas apa juga nama barunya, dalam PRU-15 nanti.

Sementara itu ahli MKT, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menjelaskan keputusan yang sangat tepat dari Muafakat Nasional yang mahukan rakyat membuat keputusan memilih kerajaan baru.

“Alhamdulillah, Muafakat Nasional membuat keputusan yang tepat. Kembalikan kepada rakyat… biar rakyat buat keputusan.

“Jangan sewenang-wenang gunakan perkataan ‘Unity Governement’. Perdana Menteri memerintah tanpa pembangkang. Dia berkuasa penuh memilih menteri tanpa berasaskan parti.

“Ini menjadikan dia Perdana Menteri diktator. Sistem apakah ini?” katanya lagi.

Justeru, Dr Puad menjelaskan keputusan Ahli-ahli Parlimen pembangkang sangat tepat demi rakyat.

“Maka keputusan tidak menyertai kerajaan bentuk baru yang cuba ditubuhkan Mahathir adalah tepat. Jangan biarkan Tun Mahathir terus membohongi rakyat.

“Ampun Tuanku, bubarkan parlimen,” ujarnya lagi. – UMNO ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.