Kemelut Politik Libatkan Perlembagaan, Undang-undang… Beri Kepercayaan Kepada Pucuk Pimpinan

KUALA LUMPUR, 25 Feb – Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin melihat kemelut pentadbiran hari ini bukan lagi berkisar soal politik semata-mata malah ianya sudah memasuki fasa melibatkan soal Perlembagaan dan undang-undang yang sudah pasti melangkaui soal emosi dan sentimen, sekaligus menuntut untuk berfikir dan bertindak secara profesional dan rasional.

Sehubungan itu, beliau meminta rakyat Kimanis khususnya dan Sabah amnya supaya bertenang dan memberi kepercayaan penuh kepada pucuk pimpinan untuk menyelesaikan kemelut ini dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan.

“Kemelut politik negara yang berlaku hari ini yang mana telah menyaksikan jatuhnya pentadbiran Kerajaan Malaysia sehingga memaksa Yang Di Pertuan Agong menggunakan kuasanya untuk melantik Perdana Menteri Interim selaras dengan peruntukan dalam Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan berkaitan situasi politik tersebut.

Selaras dengan itu, beliau senada dengan kenyataan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin bahawa UMNO Sabah tiada halangan dengan apa juga tindakan yang akan diambil oleh pucuk pimpinan UMNO/Barisan Nasional asalkan ianya tidak membelakangkan kepentingan rakyat dan negeri Sabah.

“Saya mengajak seluruh rakyat Sabah agar sentiasa memanjatkan doa kepada Allah SWT semoga negara kita terus dilindungi dan semoga kemelut ini dapat diselesaikan dengan sebaik-baiknya. Amin Ya Rabbal Alamin,” katanya.

Dilaporkan, semalam runtuh kerajaan Pakatan Harapan (PH) selepas Tun Dr Mahathir Mohamad melepaskan jawatannya sebagai Perdana Menteri.

Dr Mahathir turut meletak jawatan sebagai pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan parti itu juga telah keluar daripada gabungan PH.
Sehubungan itu, semalam Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dilaporkan berkenan melantik Dr Mahathir sebagai perdana menteri interim, selepas menerima peletakan jawatannya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.