Jika Syarat Tanpa Dap Tidak Dapat Dipenuhi, Maka Kembalikan Hak Rakyat – Najib

KUALA LUMPUR, 25 Feb – Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak berkata, UMNO dan PAS melalui Muafakat Nasional akan terus memberi sokongan kepada usaha pembentukan kerajaan baru selepas runtuhnya Pakatan Harapan (PH).

Jelas beliau, ini adalah demi kesinambungan dan kestabilan Malaysia tetapi sokongan yang diberi adalah bersyarat.

“Syaratnya ialah kerajaan baru ini tidak melibatkan Dap namun memandangkan syarat ini tidak dapat dipenuhi maka usaha pembentukan kerajaan baru tidak dapat diteruskan lagi.

“Jika begini, kita kembali kepada rakyat… kembalikan hak rakyat bagi menentukan pihak mana yang wajar membentuk kerajaan kerana kuasa di tangan rakyat,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Tambah Najib yang juga merupakan Ahli Parlimen Pekan, krisis politik yang sedang melanda negara ini juga perlu dihentikan.

“Cukuplah krisis ini, cukuplah cerita ‘back door’ ‘front door’… rumah pun sudah tiada… sampai bila mahu berlanjutan begini?.

“Apa yang terjadi ini adalah kerana pemimpin PH yang berebut kuasa namun sayangnya UMNO dan PAS pula yang dipersalahkan. Isu ini jelas pemimpin PH berebut kuasa.

“Tapi mereka salahkan orang lain… salahkan UMNO dan PAS,” ujar beliau lagi.

Hari ini, Barisan Nasional (BN), PAS dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) sepakat menolak sebarang gabungan yang membabitkan Dap dan mahukan Parlimen dibubarkan.

Perkara itu ditegaskan oleh Setiausaha Agung UMNO yang juga Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa pada sidang media khas di PWTC.

Sidang media berkenaan turut dihadiri oleh Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hasan, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M.Saravanan dan Timbalan Presiden PBRS, Arthur Joseph Kurup. Beberapa Ahli Parlimen lain turut bersama pada sidang media tersebut. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.