Cukup-cukuplah Salahkan Orang Lain… Kenapa Kerajaan PH Runtuh? Dr Asyraf Beri Naratif

KUALA LUMPUR, 25 Feb – Cukup-cukuplah menyalahkan Muafakat Nasional (UMNO ataupun PAS) atas kelemahan dan konflik dalaman Pakatan Harapan (PH), tegas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Semalam, Setiausaha Agung Dap Lim Guan Eng dalam sidang medianya membuat tuduhan bahawa tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri (PM) adalah kerana Tun Mahathir tidak mahu bekerjasama dengan UMNO.

“Secara mudahnya kenapa kerajaan PH runtuh? Soal Dr Asyraf dalam satu hantaran di Facebook.

Justeru itu, Dr Asyraf menyenaraikan naratif bagaimana kerajaan PH runtuh selepas 21 bulan memerintah negara.

1. Perebutan kuasa kerusi Perdana Menteri secara berterusan antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan penyandangnya Tun Mahathir.

2. Perbalahan besar antara parti-parti politik dalam PH terutamanya antara PPBM dengan PKR, Dap dan Pan.

3. Persengketaan dalaman PKR antara grup Anwar Ibrahim dan grup Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hingga keluar video yang memualkan.

4. Tekanan berterusan pihak Dap, PKR dan Pan ke atas Tun Mahathir untuk serahkan kuasa PM kepada Anwar Ibrahim sehingga kemuncak perbalahannya dalam Mesyuarat Majlis Presiden PH pada hari Jumaat lepas, 21 Februari 2020.

5. Rentetan daripada perbalahan dalam Mesyuarat Majlis Presiden PH, PPBM mengadakan mesyuarat khas tergempar pada hari Ahad, 23 Februari untuk membuat keputusan sama ada terus kekal dalam PH ataupun sebaliknya.

6. PPBM secara rasminya membuat pengumuman keluar daripada PH, diikuti Azmin Ali bersama 11 Ahli Parlimen PKR pada hari Isnin, 24 Februari 2020.

7. Akibat tekanan dan pertelingkahan berterusan maka akhirnya Tun Mahathir mengumumkan perletakan jawatan selaku PM pada 24 Februari 2020 yang kesannya terbubarlah Kabinet dan kerajaan PH setelah 21 bulan berkuasa.

Semalam, ekoran runtuhnya PH dan perletakan jawatan Tun Mahathir sebagai PM, Ketua Setiausaha Negara (KSN) Datuk Seri Mohd Zuki Ali mengeluarkan kenyataan bahawa dengan perletakan jawatan Tun Mahathir selaku PM, maka secara automatik terbubarnya Kabinet di kalangan Menteri dan Timbalan Menteri sebagaimana yang diperkenankan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Sebelumnya, KSN telah mengumumkan Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri Interim, juga atas perkenan Yang di-Pertuan Agong. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.