Bubar Parlimen Jalan Keluar Kemelut Kuasa – Khaled

KUALA LUMPUR, 25 Feb – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyokong penuh pendirian dan pilihan yang dibuat oleh kepimpinan UMNO dan PAS melalui Muafakat Nasional agar diadakan Pilihan Raya Umum (PRU) sebagai jalan keluar dalam kemelut kuasa serta pembentukan kerajaan baharu yang sedang berlaku sekarang.

Menurut beliau pendirian yang cenderung memilih PRU ini bukan sahaja lebih baik dan matang dalam menyantuni lunas demokrasi, malah akan memansuhkan tuduhan bahawa UMNO dan PAS kemaruk kuasa.

“Ramai yang membuat andaian tidak adil bahawa UMNO dan PAS akan segera menerima pelawaan untuk membentuk Kerajaan. Sedangkan pendirian kedua-dua parti besar orang Melayu ini sangat konsisten dalam menolak pembentukan kerajaan pintu belakang,” ujarnya dalam satu kenyataan kepada media.

Tambahnya, yang pasti adalah sangat jelas bahawa ketidakstabilan kerajaan yang sedang berlaku adalah disebabkan oleh kegagalan dan perpecahan Pakatan Harapan.

“Perkembangan ini adalah sesuatu yang bersifat ‘self-destructive’ susulan pergolakan dalaman Pakatan Harapan. Ia tidak dimulakan atau diakibatkan oleh UMNO dan PAS,” katanya.

Namun, katanya lagi biar apa pun yang akan diputuskan kelak, apa yang diharapkan keputusan tersebut akan menjadi jalan terbaik untuk semua khususnya rakyat dan amalan demokrasi negara.

“UMNO dan PAS akan terus komited memberikan yang terbaik tanpa menggadaikan prinsip dan ideologi yang dipegang selama ini. Kita mahu menjadi Kerajaan dengan jalan demokrasi yang bermaruah,” ujarnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.