Ahli Parlimen BN, PAS Mengadap YDPA, Sepakat Menaiki Bas

KUALA LUMPUR, 25 Feb – Dilaporkan, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap 222 Ahli Parlimen untuk sesi temu bual peribadi bersama Seri Paduka.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata temu bual ringkas kira-kira dua ke tiga minit seorang bertujuan mendapatkan maklum balas serta pendapat setiap anggota Dewan Rakyat mengenai situasi politik negara.

Temubual yang akan disaksikan oleh Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Mohd Zuki Ali itu, melibatkan dua kumpulan iaitu 90 Ahli Parlimen untuk sesi hari ini dan 132 lagi bagi sesi esok.

Sehubungan itu, Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang diketuai Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk termasuk bekas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak (Pekan) sepakat hadir ke Istana Negara, di sini dengan menaiki dua buah bas persiaran yang disediakan dari Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra bagi mengadap Yang di-Pertuan Agong.

Antara yang turut serta, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Ahli Parlimen Bera dan Datuk Seri Mahdzir Khalid (Padang Terap), Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa (Ketereh), Ketua Penerangan Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah (Lenggong), Ketua Wanita UMNO Malaysia Datuk Dr Noraini Ahmad (Parit Sulong) dan Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Turut sama beberapa ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO seperti Datuk Tajuddin Abd Rahman (Pasir Salak), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (Kepala Batas) dan Datuk Seri Ahmad Maslan (Pontian).

Turut hadir ke Istana Negara menaiki bas adalah dari ahli-ahli Parlimen PAS seperti Setiausaha Agungnya Datuk Takiyuddin Hassan (Kota Bharu) dan Ahli Parlimen Bachok yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.