Semua Ahli UMNO Diseru Letak Kepercayaan Kepada Pimpinan Parti

KUALA LUMPUR, 24 Feb – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah menyeru dan berharap dalam situasi politik negara ketika ini semua ahli UMNO di pelbagai peringkat meletakkan kepercayaan kepada pimpinan UMNO BN bagi menentukan kedudukan parti.

“Sebaran maklumat akan dikeluarkan melalui kenyataan rasmi UMNO”, katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Dilaporkan kerajaan gabungan Pakatan Harapan (PH) runtuh ekoran tindakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang membuat keputusan untuk keluar daripada gabungan itu sebagaimana yang diumumkan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Katanya keputusan itu dicapai Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu dalam mesyuarat khas yang diadakan semalam.

Begitu juga dengan tindakan Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berserta dengan 10 Ahli Parlimennya yang bertindak keluar parti serta PH dan mengisytiharkan sebagai bebas.

Dalam kenyataan lain yang diumumkan Pejabat Perdana Menteri, dilaporkan Tun Dr Mahathir Mohamad telah meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri Ketujuh hari ini.

Menyusul kemudian satu kenyataan Pejabat Pengerusi Bersatu memaklumkan Tun Dr Mahathir hari ini meletak jawatan sebagai pengerusi parti terbabit dengan surat tersebut telah dihantar kepada Ibu Pejabat Bersatu hari ini.

Terkini, Ketua Setiausaha Negara (KSN) Datuk Seri Mohd Zuki Ali mengumumkan Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri Interim atas perkenan Yang di-Pertuan Agong.

KSN juga memaklumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong berkenan membatalkan pelantikan menteri-menteri atas nasihat Perdana Menteri hari ini. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.