Rakyat Harus Tenang, Doakan Keselamatan Dan Kesejahteraan Malaysia

KUALA LUMPUR, 24 Feb – “Doakan keselamatan dan kesejahteraan Malaysia di saat negara tanpa kerajaan…,” demikian kata Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa dalam ciapan di Twitternya berkaitan situasi politik negara terkini.

Katanya, rakyat harus bertenang dan sabar.

“Doakan keselamatan dan kesejahteraan Malaysia di saat negara tanpa kerajaan…. Rakyat harus bertenang dan sabar. Pertahan kebijaksanaan kita rakyat Malaysia. Insya-Allah kita lakukan yg terbaik demi rakyat dan negara. ‘Rabbi yassir wala tuassir watammin bil khair…’” katanya.

Sebelum itu beliau yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata ‘rumah roboh, tiada lagi pintu depan atau pintu belakang.

“Dengan Bersatu keluar dan Azmin dipecat, kerajaan Pakatan Harapan (PH) kini ‘collapse’… tidak timbul lagi pintu depan atau belakang… terpulanglah kepada Ahli Parlimen dan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong.”

Dilaporkan gabungan PH runtuh ekoran tindakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang membuat keputusan untuk keluar daripada gabungan itu sebagaimana yang diumumkan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Katanya keputusan itu dicapai Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu dalam mesyuarat khas yang diadakan semalam.

“Semua Ahli Dewan Rakyat dari parti Bersatu juga dengan ini keluar Pakatan Harapan. Semua mereka telah menandatangani Akuan Bersumpah untuk terus menyokong dan memberi kepercayaan kepada YAB Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri Malaysia.

“Keputusan ini dibuat dengan mengambil kira perkembangan politik semasa dan masa depan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam kenyataan lain yang diumumkan Pejabat Perdana Menteri, dilaporkan Tun Dr Mahathir Mohamad telah meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri hari ini.

“Tun Dr Mahathir bin Mohamad telah menghantar surat peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-tujuh hari ini.

“Surat itu telah dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong pada pukul 1.00 tengah hari,

Menyusul kemudian satu kenyataan Pejabat Pengerusi Bersatu memaklumkan Tun Dr Mahathir hari ini meletak jawatan sebagai pengerusi parti terbabit dengan surat tersebut telah dihantar kepada Ibu Pejabat Bersatu hari ini. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.