PH Runtuh, Hal Rakyat Patut Diutamakan – Annuar

KUALA LUMPUR, 24 Feb – Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, negara perlukan dokongan dan kestabilan dengan hal rakyat patut diutamakan setelah Pakatan Harapan (PH) runtuh berpunca dari sifat takbur, sombong dan rakus dalam PH itu sendiri.

Ujar beliau, apabila PH runtuh, pembangkang boleh saja ambil kesempatan dengan mendesak untuk mengadakan semula pilihan raya namun belum pun dua tahun rakyat akan disusahkan semula dengan Pilihan Raya Umum (PRU).

“Bila PH untuh, kami pembangkang boleh saja ambil kesempatan, paksa pilihan raya dan kami berpeluang menguasai semua tapi belum pun dua tahun rakyat disusahkan dengan PRU… ini masa bekerja. Perdana Menteri (PM) perlukan dokongan dan kestabilan, hal rakyat patut diutamakan dan kamu sombong tak habis-habis,” katanya menerusi ciapan dalam Twitternya, hari ini.

Beliau berkata demikian berikutan polemik kepimpinan yang membawa kepada keruntuhan PH dan juga kemungkinan pengaturan semula lanskap politik negara berkaitan sokongan parti-parti politik terhadap PM.

Tegasnya, menteri PH nak bercakap tentang mandat namun adakah mereka fikir untuk memberi mandat kepada PM sebelum ini.

“Ada mereka fikir untuk beri mandat kepada PM, mereka kutuk, mereka hina, mereka tikam belakang PM mereka. Nah… sekarang kami beri mandat, tolong PM teruskan kerja baiki negara, termasuk kerosakan yang kamu lakukan dalam dua tahun kepada ekonomi, kepada agama dan lain-lain,” katanya lagi.

Terdahulu beliau berkata bahawa segalanya berpunca dari sifat takbur, sombong dan rakus dalam PH itu sendiri.

“Usah salahkan orang lain. Jangan lupa bukan semua dalam kerajaan saja ada mandat rakyat. Bukan Lim Guan Eng, Lim Kit Siang… Datuk Seri Anwar Ibrahim saja, kami pembangkang juga ada mandat. Kerajaan itu campuran dan bukan mutlak mana-mana parti.

“Apabila formula kamu runtuh, tiada pintu depan atau belakang. Kami ada pilihan sama ada membakarnya, atau hulur tangan bina baru. Kami harus fikir mana terbaik untuk rakyat, pemimpin mahu terus sombong dan bercakaran atau kita stabilkan dan bekerja untuk rakyat dan kemidian kita kembali pada rakyat.”

Terangnya, yang bermasalah itu PH, yang gagal itu PH, yang berpecah itu PH dan pembangkang komited mengutamakan apa yang terbaik bagi kepentingan rakyat.

“Negara mesti selamat, stabil dan pemimpin tumpu bekerja untuk rakyat. Kami ketepikan sentimen dan kami hulurkan pengimbang demi kestabilan.”

Ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Ketereh, segalanya bermula dari dalam PH sendiri.

“Apabila kami di beri bayangan 14/15 Ahli Parlimen PKR dan hampir semua 25 MP PPBM hilang keyakinan pada PH, bererti kerajaan PH runtuh. Dalam situasi ini kita ada dua ‘option’, pertama bubar parlimen, kedua bentuk kerajaan baru jika mandat mencukupi.

“Dua ‘option’ ini kuasanya terletak pada PM dan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dan sebagai parti politik kita buat pendirian kita… bubar parlimen kita setuju… atau pilihan kedua, kerana PH runtuh kita beri dokongan pada PM untuk bentuk muafakat baru. Antara dua itu, yang penting jangan rakyat jadi mangsa.

“UMNO memberi mandat kepada Presiden untuk ambil apa jua langkah yang terbaik untuk parti dan rakyat, khususnya orang Melayu dan bumiputera, enam parti tertentu jika bersepakat mampu menstabilkan politik negara. Kita sudah tunaikan tanggungjawab kita, kini terpulang pada PM dan perkenan Yang Di-Pertuan Agong.” – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.