Undang-undang Negara Tercabar, Tindakan AG Beri Kesan Strategi Pembanterasan Keganasan – Khaled

KUALA LUMPUR, 23 Feb – Tindakan Peguam Negara Tommy Thomas Jumaat lalu telah membuka ruang yang mempersoalkan kewibawaan pelbagai institusi keselamatan dan perundangan, ujar Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Katanya, yang lebih membimbangkan ialah kesannya kepada strategi pembanterasan keganasan di Malaysia.

“Kepentingan hak asasi dihormati adalah penting dalam memerangi keganasan tetapi ia mesti diimbangi dengan kepentingan keselamatan nasional secara kolektif,” tambahnya dalam satu kenyataan.

Tommy dalam satu kenyataan pada Jumaat, 21 Feb. mengumumkan pembebasan 12 tertuduh di bawah kesalahan menyokong kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Ealam (LTTE) berkuat kuasa serta-merta dengan alasannya ialah “tiada prospek yang realistik untuk mensabitkan tertuduh dengan kesalahan.”

Justeru tegas Khaled, keputusan Tommy itu menimbulkan beberapa persoalan dan implikasi yang memerlukan penjelasan terperinci kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Keputusan ini dibuat setelah kesemua 12 suspek telah pun ditangkap, didakwa dan dipenjarakan tanpa jaminan untuk beberapa bulan.

“Malah pihak pendakwaan bersungguh-sungguh menentang permohonan jaminan atas dasar kepentingan keselamatan negara.

“Semua ini menimbulkan rasa sangsi masyarakat terhadap kewibawaan proses pendakwaan jika tahap pensabitan adalah diragui akhirnya,” katanya.

Tambahnya lagi, keputusan tersebut memerlukan kerajaan mengkaji semula dasar pembanterasan keganasan di negara ini.

“Menyimpan kerana mengidolakan dan menyimpan kerana menyokong apa jua material berkaitan dengan individu, ideologi atau pergerakan pengganas adalah kesalahan yang disepakati oleh masyarakat keselamatan global.

“Ia telah dijadikan undang-undang di pelbagai negara termasuk Malaysia dengan tujuan pembanterasan dan pencegahan apa jua elemen yang boleh menjurus kepada radikalisasi.

“Keputusan Tommy ini jelas bercanggah dengan konsesus global dalam menangani radikalisme dan dasar anti keganasan,” bidasnya.

Jelas Khaled lagi, keputusan itu jelas telah merendahkan wibawa dan kompetensi institusi Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“PDRM telah secara konsisten menegaskan bahawa tangkapan suspek pengganas LTTE dibuat berdasarkan bukti-bukti yang mencukupi berdasarkan risikan yang lama dan menyeluruh.

“Malah, pertuduhan terhadap suspek juga telah dibuat dan dilakukan oleh pihak Pejabat Peguam Negara sendiri.

“Rasional apakah yang boleh ditawarkan oleh Peguam Negara dalam menyelamatkan wibawa dan kompetensi siasatan Polis dan tindakan pegawai pendakwaan yang jelas selari dengan peruntukan undang-undang,” soalnya.

Seterusnya soal Khaled lagi, adakah kes tersebut akan menjadi permulaan bagi semakan semula semua kes-kes lain yang diletakkan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).

“Bagaimana pula pendakwaan dan pensabitan yang dikenakan ke atas pelbagai individu lain yang menyokong dan mempromosi kumpulan pengganas lain seperti The Islamic State (IS) dan Jemaah Islamiyyah sebelum ini.

“Tindakan terbaru Peguam Negara mewajarkan semua kes tersebut disemak dan digugurkan juga di atas sebab “tiada prospek realistik” untuk mensabitkan mereka hanya kerana mereka “mempunyai gambar dan barangan orang yang mereka kagumi”,” katanya.

Terangnya lagi, walaupun Seksyen 66(b)(9) AMLA memperuntukkan kajian semula setiap 6 bulan oleh Menteri bagi pengisytiharan sesuatu entiti sebagai kumpulan pengganas, setakat ini LTTE masih lagi di dalam senarai organisasi kumpulan pengganas di bawah undang-undang Malaysia.

“Maka ia adalah kumpulan pengganas dan kedudukan ini tidak berubah sehingga pindaan dilakukan.

“Saranan Tommy yang menyeru Menteri Dalam Negeri untuk menyemak semula perintah yang membabitkan kumpulan LTTE sebagai kumpulan pengganas yang telah digazetkan pada November 2014 dalam AMLA tidak boleh dilaksanakan sehingga satu dasar ‘Proscription’ yang jelas digubal,” tegasnya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.