Muafakat Nasional Mengorak Langkah, Bersama Jalinkan Muafakat Lebih Istiqamah – Annuar

KUALA LUMPUR, 23 Feb – Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa berkata Muafakat Nasional (MN) akan mengorak langkah bersama untuk menjalinkan muafakat secara yang lebih istiqamah.

Dalam satu ciapannya di Twitter, Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata hasil pemukiman UMNO dan PAS, kedua-dua parti bersepakat untuk terus membawa panji Muafakat Nasional.

“Tamat ‘retreat’ UMNO-PAS… Kedua-dua parti sepakat untuk terus bersama membawa panji-panji Muafakat Nasional.

“MN akan mengorak langkah bersama menjalin muafakat secara yang lebih istiqamah,” ujarnya.

Sebelumnya, dalam ciapannya juga Annuar berkata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO mengadakan mesyuarat khas pada jam 4 petang ini.

“Insyallah MKT UMNO akan mengadakan mesyuarat khas MKT pada pukul 4.00ptg nanti, untuk membincangkan perkembangan politik tanah air serta taklimat Presiden UMNO,” tambahnya.

Semalam dan hari ini, kedua-dua pemimpin tertinggi parti terbesar umat Islam dan Bumiputera Melayu UMNO dan PAS bermukim selama dua hari satu malam di Institut Latihan Memperkasa Ummah (ILMU), Janda Baik, Pahang bagi memperbincangkan secara terperinci mengenai hala tuju, pendekatan, strategi dan gerak kerja bersama dalam rangka memperkasakan MN.

14 Sept tahun lalu tercatat sejarah yang cukup besar buat landskap politik tanah air apabila UMNO dan PAS mengisytiharkan pembentukan Muafakat Nasional yang membawa agenda penyatuan ummah bagi mensejahterakan Malaysia yang majmuk.

Piagam berkenaan ditandatangani oleh Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan PAS pula diwakili oleh Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang sejurus selesai ucapan kedua-dua presiden parti berkenaan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini dalam Himpunan Penyatuan Ummah. – UMNO ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.