Muafakat Nasional: Kemakmuran Sejagat, Satu Perjuangan Berterusan Untuk Rakyat

KUALA LUMPUR, 23 Feb – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pemukiman Muafakat Nasional fokus kepada kemakmuran sejagat.

Ia juga ujarnya, merupakan satu perjuangan yang berterusan untuk rakyat di negara ini.

“Muafakat Nasional, dari rakyat untuk rakyat,” katanya dalam satu catatan ringkas di Facebook.

Dalam platform media sosial yang sama, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid yakin pemukiman tersebut akan menjadikan Muafakat Nasional lebih diperkasa dan diperkemas demi agama, bangsa dan tanah air.

Manakala Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa dalam ciapan di Twitternya berkata sudah pasti roh perjuangan hasil dari pemukiman tersebut akan diperbaharui, malah direjuvinasi dan direkayasa.

“Dari pergunungan Janda Baik Pahang, kita UMNO dan PAS mengikuti dengan teliti perkembangan yang sedang berlaku di Lembah Klang… ‘Retreat’ tamat sebentar lagi.

“Kita turun dari pergunungan dengan roh dan semangat perjuangan yang bukan saja diperbaharui, malah direjuvinasi dan direkayasa,” jelasnya.

Bagi Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata pemukiman Muafakat Nasional antara pemimpin peringkat tertinggi UMNO dan PAS merupakan satu lagi peristiwa bersejarah buat negara.

“Peristiwa bersejarah buat Malaysia apabila buat pertama kali dalam sejarah kepimpinan tertinggi kedua-dua parti terbesar umat Islam dan Bumiputera Melayu UMNO dan PAS bermukim selama dua hari satu malam di Pusat Latihan UMNO ILMU Janda Baik memperbincangkan secara terperinci mengenai hala tuju, pendekatan, strategi dan gerak kerja bersama dalam rangka memperkasakan Muafakat Nasional.

“Doakan Muafakat Nasional ini diberkati dan dirahmati demi mempertahankan Islam, bangsa dan tanah air,” tambahnya lagi dalam satu hantaran di Facebook.

14 Sept tahun lalu tercatat sejarah yang cukup besar buat landskap politik tanah air apabila UMNO dan PAS mengisytiharkan pembentukan Muafakat Nasional yang membawa agenda penyatuan ummah bagi mensejahterakan Malaysia yang majmuk.

Piagam berkenaan ditandatangani oleh Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan PAS pula diwakili oleh Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang sejurus selesai ucapan kedua-dua presiden parti berkenaan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini dalam Himpunan Penyatuan Ummah. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.