Rakyat Jadi Mangsa… Kerajaan Hari Ini Tidak Berada Di Landasan Sebenar – Din Adam

KUALA LUMPUR, 21 Feb – Pelbagai isu dan perkara yang menghimpit rakyat hari ini memperlihatkan bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) bukan berada di landasan yang sebenarnya malah perkembangan terkini soal ekonomi membuatkan rakyat yang jadi mangsa resah gelisah.

Justeru bagi Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Din Adam, perkara tersebut menyebabkan rakyat khususnya di peringkat bawah masing-masing menyatakan keresahan mereka terhadap senario yang berlaku di dalam negara hari ini.

Menurut beliau sebagai contoh soal Tabung Haji yang terus menerus menimbulkan polemik di negara ini termasuklah soal terbaru mengenai empat rangkaian hotel di bawah agensi berkenaan serta pelbagai perkara lain menambahkan lagi keresahan rakyat.

“Sudah hampir dua tahun mereka menerajui negara… sudah hampir dua tahun mereka mengambil alih kuasa… sudah hampir dua tahun mereka di puncak kuasa, namun kita tertanya kenapa rakyat menyatakan keresahan.

“Kalau sebut soal janji dan manifesto pastinya ramai yang sudah tahu dan ramai yang amat-amat kecewa. Hari ini apa tindakan proaktif mereka dalam usaha membantu dan merangka penyelesaian terbaik untuk rakyat di bawah ini. Seharusnya kerajaan hari ini bergerak ke depan dan terus merangka yang terbaik untuk kepentingan rakyat,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Apa yang jelas tambah beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Dungun, masing-masing dilihat masih menyalahkan kerajaan terdahulu serta sibuk bercakap soal peralihan kuasa dan kepentingan sendiri.

Sepatutnya tambah beliau lagi hari ini adalah waktu dan masa yang sesuai untuk melaksanakan segala janji yang ditawarkan kepada rakyat sebelum ini.

“Inilah harga yang perlu dibayar dan inilah kerajaan yang membawa kemudaratan kepada rakyat serta negara. Ya… jika kita melihat dan meneliti secara mendalam jauh benar bezanya kerajaan hari ini dengan yang dahulu. Rakyat sudah pasti mengharapkan sekurang-kurangnya kerajaan yang baharu dapat memberikan yang lebih baik daripada yang lama, tetapi ini sebaliknya,” katanya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.