Janji Manifesto PH Tubuh RCI… Walaupun Dah Lebih 100 Hari Masih Belum Terlambat

KUALA LUMPUR, 21 Feb – Kalaulah Suruhanjaya Siasatan Di Raja (RCI) dibuat terhadap 1MDB, Mara, Felda dan Tabung Haji tentulah lebih mudah rakyat menerima apa jua penjelasan termasuklah mengenai penjualan aset dan lain-lainnya, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Katanya, bab paling mudah ialah bab ‘menyiasat skandal’ dan menubuh RCI.

“Bab ini paling tidak banyak guna wang berbanding bab hapuskan tol, PTPTN atau hapuskan hutang Felda dan lain-lain yang terkandung dalam janji 100 hari Manifesto Pakatan Harapan (PH). Agaknya sebab itu bab itu ada kanta pembesar, tanda pentingnya perkara ini didahulukan.

“Kalaulah RCI sudah dibuat senang kita terima apa jua penjelasan Mujahid mengenai jual aset Tabung Haji atau lain-lainnya,” katanya menerusi kenyataan pendek dalam laman Facebooknya.

Jelas beliau, walaupun sudah lebih 100 hari, rasanya masih belum terlambat kerana rakyat mahukan kebenaran bukan alasan.

Dilaporkan, antara janji dalam manifesto PH ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-14 llalu yang didakwa akan dilaksanakan dalam 100 hari selepas mendapat mandat pentadbiran ialah untuk menubuhkan RCI ke atas 1MDB, FELDA, MARA, dan Tabung Haji dan merombak semula struktur kepimpinan mereka.

Namun begitu, sehingga kini RCI tidak ditubuhkan untuk mana-mana empat badan tersebut malah menurut Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata kerajaan tidak boleh terus menubuhkan RCI sehingga mempunyai beberapa pertuduhan kukuh terhadap mereka yang terlibat dalam penyelewengan.

Terkini, isu Tabung Haji menjadi polemik ekoran penjualan pelbagai aset iaitu melalui TH Plantations yang telah menjual secara lambak ladang-ladang milik mereka kepada syarikat swasta, melibatkan 76.2% ladang-ladang yang berkeluasan 101,000 hektar dan kini menjadi hanya 24,000 hektar sahaja selain aset-aset strategik termasuk keseluruhan pegangan saham dalam Tenaga Nasional Berhad (TNB) bernilai RM1.8 bilion, malah terbaru Tabung Haji juga akan menghentikan operasi empat rangkaian hotel TH bermula April 2020. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.