TH Mercu Tanda Umat Islam: Jati Diri Tak Mudah Ditukar Dengan Wang Ringgit

KUALA LUMPUR, 20 Feb – Perasaan bangga dan jati diri terhadap Tabung Haji (TH) tidak mudah ditukar ganti dengan wang ringgit, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Ujarnya dalam satu posting di Facebook, kerajaan yang memahaminya akan terus bantu untuk memastikan lambang kebanggaan itu berkembang dan menjadi penyatu ummah.

“Kalau diserahkan kepada yang tidak memahaminya, ia pasti melihat hanya kepada untung rugi.

“Kalau rugi alasan untuk menyahkannya, kalau menguntungkan juga pasti ramai yang berselera memilikinya.

“Bangga dan jati diri bukan faktor lagi,” tegasnya.

Imbaunya juga, dalam tahun 1980-an setiap orang dari desa yang datang ke Kuala Lumpur pasti berbangga dengan tersergamnya bangunan TH yang berada di tengah-tengah pusat bandaraya itu.

“Mereka rasa mercu tanda ini milik mereka kerana kebanyakannya adalah pencarum.

“Masa tu tak banyak bangunan di Kuala Lumpur yang tersergam indah seperti ini dikaitkan dengan Bumiputera/Islam,” katanya lagi.

Tambahnya lagi, apabila masuk era tahun 2000, TH melebarkan sayap pelaburannya dengan rangkaian hotel-hotel, yang menambahkan lagi kebanggaan rakyat itu.

“Konsepnya dekat dengan lapangan terbang, patuh syarie, bersih dan memberi kemudahan yang sama seperti hotel-hotel besar lain.

“Tambah bangga. Ia berada di mana-mana. Jenama Tabung Haji tumbuh di mana-mana,” ujarnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.