Siapa Khianat Tabung Haji… BN Atau PH?

Kemelut yang melanda Tabung Haji (TH) hari ini bukan berpunca dari penyelewengan, curi duit atau pelaburan palsu seperti yang cuba digambarkan oleh Pakatan Harapan (PH).

2. Keuntungan Bersih TH pada 2017 ialah RM3,412 juta, RM2,486 juta (2016), RM3,536 juta (2015), RM2,979 juta (2014).

3. Manakala Hibah yang dibayar menggunakan peruntukan sejumlah RM3,324 juta (2017), RM2,871 (2016), RM3,220 juta (2015) dan RM3,237 juta (2014). Terlebih bayar hibah berbanding keuntungan pada 2014 dan 2016 telah di offset dengan pengurangan hibah pada 2015 dan 2017.

4. Justeru adalah sangat tidak benar dakwaan seorang ekonomis populis pro-PH yang pergi memberi tahu orang kampung bahawa TH di bawah BN beroperasi seperti sistem Pak Man Telo atau skim piramid; yang menggunakan wang pelabur bagi membayar dividen.

5. TH adalah satu institusi pelaburan besar yang mencatatkan keuntungan berbilion ringgit setahun. Ia tidak sama langsung dengan skim Pak Man Telo atau mana-mana skim Piramid seperti cuba digambarkan oleh ekonomis ini. Skim Piramid tidak mempunyai pelaburan luar yang mampan dan mencatatkan keuntungan.

6. Kemelut TH bukan sebab Azeez Rahim curi duit atau berlaku penyelewengan berbilion ringgit. TH menjadi kontroversi kerana PH memerlukan naratif politik bahawa UMNO khianat institusi melayu dan Islam.

7. Apabila PH menjadi kerajaan, orang Melayu/Islam tidak mempercayai mereka dan melihat PH sebagai ikatan politik yang didominasi oleh DAP.

8. Keadaan ini tidak dapat dielakkan kerana 70% orang Melayu tidak mengundi PH. Perdana Menteri Melayu PH datang dari parti yang mempunyai mempunyai kerusi tidak sampai separuh dari DAP. Jawatan-jawatan penting diberikan kepada mereka yang berasosiasi dengan DAP.

9. Justeru PH perlukan batu loncatan untuk menarik sentimen orang Islam di negara ini. Salah satu naratif ialah TH kerana agensi ini sangat dekat dengan hati dan emosi umat Islam.

10. Maka dibesar-besarkan aset semasa kurang dari jumlah wang pendeposit. Digembar-gemburkan TH telah melanggar Akta Tabung Haji 1995 kerana membayar hibah walaupun liabilitinya melebihi aset.

11. Benar ini berlaku. Tapi ini bukan kehilangan wang seperti cuba dikelirukan oleh PH. Kebanyakan aset TH yang rosot nilai ialah pegangan saham di Bursa Malaysia. Ia boleh berubah bila saham meningkat kembali.

12. Ambil contoh, rosot nilai aset TH pada 2017 ialah RM4.1 bilion meningkatkan kepada RM10 bilion pada 2018 apabila Bursa Malaysia jatuh teruk akibat kegagalan pentadbiran PH.

13. Namun kita tahu sebahagian aset yang mengalami rosot nilai atas kertas ini memberi pulangan dividen yang tinggi setiap tahun.

14. Ambil contoh Malakoff, TH beli sahamnya 500 juta saham pada harga RM1.80 sesaham, namun pada penghujung 2018, akibat kegagalan pentadbiran PH, Bursa Malaysia merosot dengan teruk, maka harga sahamnya jatuh kepada 80 sen seunit. Ia bermakna TH rugi atas kertas RM500 juta.

15. Kerugian TH ini hanya atas kertas. Jika tahun hadapan saham ini meningkat semula maka aset TH akan kembali meningkat. Namun dalam masa yang sama TH mendapat dividen sekitar RM30 juta setahun daripada Malakoff.

16. Kini apabila saham Malakoff dipindahkan kepada Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB), dividen sekitar RM30 juta setahun ini akan diterima oleh syarikat ini. UJSB tidak perlu membayar sesen pun kepada TH kecuali pada Sukuk yang tamat pada 7 dan 10 tahun lagi.

17. Siapa tidak mahu berniaga bagi satu sijil hutang dan anda dapat RM30 juta setahun?

18. Ambil contoh kedua, TH telah membeli tanah di Tun Razak Exchange dengan harga RM186 juta. UJSB di bawah Kementerian Kewangan telah mengambil alih tanah ini dengan memberi satu surat hutang sebanyak RM400 juta kepada TH yang perlu dijelaskan dalam tempoh 7 atau 10 tahun.

19. Tanah ini telah dinilai mempunyai GDV minima sekitar RM900 juta apabila dibangunkan kelak. Bayangkan berapa banyak sub projek yang akan diwujudkan di bawah pembangunan ini. Jika di bawah TH ia akan memberi peluang kepada usahawan dan kontraktor Islam. Apabila di bawah SPV bawah kawalan MOF, anda fikir sendirilah.

20. Siapa pun boleh berniaga macam UJSB ini. Tidak perlu keluar apa-apa modal. Bagi dua kertas Sukuk tanpa jaminan, anda dapat perniagaan yang bernilai berpuluh bilion ringgit.

21. Sekarang orang Islam fikir sendiri siapa khianat Tabung Haji, Barisan Nasional atau Pakatan Harapan.

Ab Jalil Becker